728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday 16 August 2017

    Menjawab Tuduhan Malaysia Negara Paling Ekstrim Di Dunia Islam – Khalif Muammar





    Baru-baru ini ada seorang pensyarah dari Singapura dalam sebuah seminar di Kuala Lumpur berkata bahawa Malaysia adalah negara paling ekstrim di dunia Islam, benarkah dakwaannya ini?


    Alasan yang diberikan oleh pensyarah ini adalah ada beberapa negeri yang melarang perkahwinan antara Sunni dengan Syi'ah.


    Sebenarnya tidaklah adil seseorang itu menilai satu negara berdasarkan satu dua peristiwa yang tidak disenangi oleh dirinya. Seorang Syi'ah sudah tentu tidak senang terhadap sekatan yang dikenakan terhadap golongan Syi'ah di negara ini. Orang Sunni juga tidak suka dengan sekatan dan ketidakadilan yang dikenakan oleh pemerintah Iran di negara itu. Dasar yang dibuat oleh sesuatu negara dianggap adil bukan kerana ianya disukai oleh sesuatu kelompok, kerana kemahuan setiap kelompok berbeza-beza. Sesuatu polisi atau dasar dianggap adil apabila ianya benar dan menjamin maslahat kepada masyarakat banyak.


    Apakah neraca yang digunakan oleh pensyarah ini dalam menilai ekstrimisme sesuatu negara? Bagi sesetengah negara Barat Malaysia adalah negara ekstrim kerana tidak membenarkan perkahwinan homoseksual.


    Untuk menilai Apakah sesuatu negara itu ekstrim ataupun tidak kita memerlukan pandangan alam (worldview) yang benar.


    Bagi seorang liberal, LGBT adalah satu hak asasi manusia yang mesti dilindungi. Bagi seorang Muslim yang berpandukan kepada al-Qur'an dan Sunnah LGBT adalah satu penyakit dan penyimpangan dan tidak boleh dianggap sebagai suatu hak.


    Malaysia bukan negara sekular yang menganggap bahawa hal agama adalah urusan individu kerananya negara tidak berhak mengatur dan ambil peduli. Pemimpin di negara ini, bertanggungjawab memelihara agama dan memastikan kepentingan umat Islam terpelihara. Oleh yang demikian ajaran sesat apapun perlu disekat dan dikawal, tanpa menafikan kebebasan beragama.


    Majoriti para ulama' berpandangan bahawa perkahwinan antara Sunni dengan Syi'ah perlu dielakkan kerana ia akan menimbulkan banyak masalah. Bagaimana pasangan ini akan hidup aman damai jika salah seorang daripada mereka memuji Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar radiya'Llahu 'anhuma tetapi seorang lagi akan melaknat kedua-duanya.


    Ulama' ASWJ tidak mengkafirkan Syi'ah akan tetapi mereka bersepakat bahawa Syi'ah adalah aliran yang sesat. Inilah yang dipegang oleh Majlis agama negeri di Malaysia dan kerana itu penyebaran ajaran Syi'ah perlu dikawal. Namun demikian orang Syi'ah boleh hidup bebas di negara ini dan mengamalkan kepercayaan mereka. Mereka hanya dilarang mendakyahkan kepercayaan mereka kepada masyarakat Sunni demi memelihara keharmonian. Kerana keterbukaan inilah terdapat ribuan pelajar Iran yang datang menuntut ilmu di negara ini.


    Memahami keunikan Malaysia ini, berbanding negara umat Islam lainnya, Rached Ghannouchi yang merupakan pemimpin terkemuka di Tunisia ketika melawat Malaysia pada Julai lepas mengatakan bahawa Malaysia adalah negara contoh yang perlu diikuti oleh negara umat Islam lainnya kerana negara ini mengamalkan Wasatiyyah dan dalam masa yang sama mampu mencapai kemajuan.


    Seorang ahli akademik perlu bersikap adil dan objektif dalam penilaiannya, ia tidak sepatutnya dipengaruhi oleh prejudis dan kebencian.







    *Prof. Madya Dr. Khalif Muammar, adalah Pengarah of Centre of Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pembaca Menara.my. Pandangan yang dilontarkan adalah dari penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian KAKIPALU.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Menjawab Tuduhan Malaysia Negara Paling Ekstrim Di Dunia Islam – Khalif Muammar Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top