728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, 15 August 2017

    Kes Cerai Naik Dek Reunion, Grup WhatsApp?




    KERANA ‘kaki perem­puan’, karier pemain golf yang pernah menduduki nombor satu dunia, Tiger Woods malap akibat rumahtangga berantakan.

    Terkena tempias sama, bintang tenis Serbia, Novak Djokovic juga tidak pasti senarai kedudukan dunianya kini di nombor berapa.

    Jumaat lepas Tumpang lalu sekadar bersembang kosong dengan seorang hakim mahkamah syariah di sebuah negeri.

    Topiknya tentang pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat waktu itu.

    Sembang punya sembang, beliau tiba-tiba mengejutkan Tumpang lalu di corong telefon ofis dengan kebimba­ngannya terhadap kes perceraian yang semakin meningkat.

    Cuma yang tak sedap dide­ngar, puncanya kerana akibat aplikasi laman sosial - WhatsApp, Wechat dan Facebook. Yang tambah harunya kerana penangan reunion atau pertemuan semula rakan-rakan lama sekolah dan universiti selepas tidak bersua muka selaman 15, 20 tahun.

    “Sejak FB (Facebook) berleluasa, banyak terjadi kes pergolakan rumahtangga. Antaranya akibat reunion dengan kes-kes seumpama ini menunjukkan peningkatan saban tahun sejak 2014,” kata hakim berkenaan.

    Walaupun tidak menyebut angka kes atau statistiknya, beliau menyifatkan arus bercambahnya grup WhatsApp barangkali tidak mampu ditolak sesiapa hari ini.

    Dan beliau sekali lagi mengejutkan Tumpang lalu dengan kisah hubungan terlarang meng­akibatkan kebanyakan rumahtangga yang dibina porak-pe­randa. Inilah yang berada dalam fail-fail kes cerai mahkamah syariah atau di ambang perceraian.

    “Bukan disebabkan lelaki terbabit hisap dadah, tetapi kerana dia ada affair. Ini diburukkan lagi kerana ramai perem­puan dalam lingkungan umur 30-an dan 40-an yang masih belum berkahwin dan ‘sasarannya’ lelaki yang telah berumahtangga,” katanya.

    Walaupun enggan nama­nya ditulis namun hakim itu menegaskan fakta-fakta berkenaan hasil dari fail atau kes yang dikendalikannya.

    Agaknya elok juga pembaca mengambil pedoman adab-adab berumahtangga dari pence­ra­mah bebas, ustazah Norhafizah Musa.

    Buah fikirannya yang catchy dan mudah melekat di fikiran daripada penceramah yang dikenali sebagai Kak Chik ini sering didengar Tumpang lalu dari CD ketika menuju ke pejabat.

    “Dunia WhatsApp ini tak ada masalah untuk kita sama-sama sertai. Tapi (papar) banyak perbuatan yang tak sanggup lagi cakap depan-depan…rasa malu sudah tertutup dah.

    “Sebab apa banyak (kes) zina berlaku, antaranya kerana hantar gambar berkembanlah, lama-lama orang puji. Suami orang isteri orang naik kereta bersama, kadang-kala tak boleh agak mereka ini suami isterikah?

    “Boleh pula bertepuk bertampar…bergurau senda, sangat me­lampaui batas,” kongsi ustazah itu.

    Sebelum menutup kisah sedih kemelut rumahtangga ini, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad sempat berkongsi dengan Tumpang lalu mengenai ‘penangan’ grup WhatsApp sekali gus mendorong reunion ini:

    “Sekadar pertemuan semula rakan-rakan kelas sekolah lama atau sesama universiti itu tidak salah.

    “Setakat ini belum ada kajian dibuat namun diakui itu (re­u­nion) itu juga antara puncanya (perceraian),” kata mufti itu.

    l Jangan ikut perasaan jumpa kekasih lama

    - Bahana aplikasi media sosial turut mainkan peranan dalam peningkatan kes penceraian di Terengganu.

    Ini didedahkan oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) Daerah Kuala Terengganu, Mohd. Ariffin Jusoh selepas satu program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu 16 Mei lalu.

    “Program reunion yang kebanyakannya ditubuhkan melalui grup WhatsApp pada asasnya suatu aktiviti yang bagus tetapi kita tidak boleh ikut sangat perasaan sekiranya berjumpa de­ngan kawan atau kekasih lama memandangkan kita sudah mempunyai komitmen dengan keluarga.

    “Juga, tidak kurangnya yang bercerai selepas menerima mesej atau gambar melalui aplikasi WhatsApp tentang kecurangan pasangan tanpa mereka membuat usul periksa terlebih dahulu,” kata Mohd. Ariffin.

    Secara purata sebanyak 200 pasangan bercerai setiap bulan di Terengganu.

    l Perkahwinan sesingkat lima tahun

    - Kebanyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun dan ke bawah.

    Itu kajian yang diperoleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    Kata timbalan menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun, sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan sejak Januari hingga 10 Julai tahun lalu.

    Tiga negeri mencatatkan kes tertinggi adalah Selangor (7,731) diikuti Sabah (6,638) dan Johor (4,700).

    Antara punca yang dikenal pasti adalah tiada persefahaman (56.2 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus) dan isteri curang (11.8 peratus).

    Renung-renungkanlah...





    Oleh : Zulkifli Jalil

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Kes Cerai Naik Dek Reunion, Grup WhatsApp? Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top