Dalam kemeriahan Ramadan dan tidak lama lagi Syawal, kita sering terlupa bahawa kita telah melakukan pembaziran. Ironi sekali apabila Ramadan yang dikatakan sebagai bulan kita mengekang hawa nafsu bertukar menjadi bulan yang mana kita membazir seolah-olah menjadi kebiasaan. Ingatlah bahawa Ramadan sepatutnya membantu mendidik kita untuk bersikap sederhana dan berjimat-cermat.
Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 27, telah berfirman dan mengingatkan kita untuk tidak terjebak dalam perkara-perkara yang boleh menjurus kepada pembaziran:
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Malangnya, fenomena yang sering kita saksikan di bulan Ramadan adalah pembaziran makanan itu sendiri. Perasaan lapar dan dahaga pada saat berpuasa membuatkan kita rambang mata serta tidak kisah untuk memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi bagi menyedia atau membeli juadah buka puasa sama ada di kedai-kedai atau di bazar-bazar. Mengikut statistik juga, setiap tahun pada bulan Ramadan, rakyat kita dianggar membuang 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan jika disusun longgakan makanan tersebut, ia bersamaan dengan ketinggian 30 buah bangunan KLCC.
Ini adalah perkara yang amat membimbangkan, kerana kita bagaikan tidak kisah untuk membuang makanan yang masih tidak diusik walau pada masa yang sama ada antara kita yang masih mengalami kesempitan hidup.
Justeru, saya harap dalam menghampiri 10 malam terakhir Ramadan ini, terapkanlah disiplin dalam berbelanja. Belanjalah mengikut keperluan dan bukan mengikut hawa nafsu dan marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk mendidik jiwa agar dijauhkan daripada segala bentuk pembaziran yang merugikan. Insya-Allah.
Oleh : Najib Razak
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci