Sekadar mahu berkongsi pengalaman. Saya sudah 16 tahun berkahwin. Anak sudah tiga orang. Saya dan suami berkahwin awal, ketika usia kami 21 tahun. Bila tamat SPM, saya sambung belajar ke sebuah IPT, manakala suami saya terus bekerja.
Mak mentua saya masa itu yang beriya-riya mahu kami berkahwin awal. Belum sempat saya tamatkan pengajian di IPT, saya sudah berkahwin. Pada awal perkahwinan, kami PJJ selama satu tahun. Tamat saja pengajian, saya pun melahirkan anak sulung kami.
Allah SWT permudahkan urusan saya, selesai saja berpantang, saya telah ditawarkan kerja di bandar yang terletak tidak jauh dari kampung. Rezeki anak. Kami menyewa sebuah rumah kampung saja pada waktu itu. Tidak lama selepas itu, ujian pertama saya dalam perkahwinan tiba. Suami saya sudah pandai balik lewat. Setiap hari balik lewat malam. Hati saya syak macam-macam.
Makin lama kelamaan, keadaan menjadi semakin teruk. Paling buat saya geram bila rumah saya terbakar, puas saya telefon dia, dia tidak jawab. Nasib baiklah waktu itu, ada jiran-jiran yang baik. Sudah masuk tengah malam, barulah suami balik. Pada masa itu, dia memang rasa menyesal sebab tidak angkat telefon saya. Waktu itu saya guna telefon di rumah jiran sebab telefon bimbit tiada line di kampung, jadi tidak boleh mahu hantar SMS.
Lepas kejadian itu, saya terpaksa menumpang di rumah mak saya. Ingatkan suami berubah, tetapi masih buat perangai yang sama. Pukuk 2 pagi baru balik rumah. Saya berasa malu dengan keluarga saya sebab diaorang sudah mula bising.
Akhirnya, saya sudah tidak tahan sangat. Tiba-tiba saja waktu itu saya berdoa, saya berkata;
Ya Allah, kalaulah suami aku khianati aku, curangi aku, biarlah malam ni dia kemalangan
Pada masa itu, saya geram sangat dan terkeluar saja doa yang macam itu. Lepas tersedar, saya beristigfar semula. Mungkin agaknya doa saya doa hambanya yang teraniya. Allah SWT makbulkan doa saya. Dalam pukul 5 pagi, saya dengar bunyi kereta di luar rumah, tetapi bukanlah kereta suami. Bila saya buka pintu rumah saja, saya tengok badan dia penuh dengan lebam dan luka sepanjang 1 inci di kepala. Katanya kemalangan melanggar babi hutan. Mengucap saya waktu itu, terdetik dalam hati, Allah SWT perkenankan doa aku. Hati saya jadi semakin kuat mengatakan memang suami ada buat pasal dengan saya, tetapi saya sabar sebab tidak mahu bergaduh di rumah mak saya.
Tidak lama selepas itu, kami berpindah ke rumah lain. Masa itu saya mula siasat. Saya perasan dia selalu sorokkan telefon bimbit dia. Suatu pagi, semasa dia tengah mandi, saya cari telefon dia. Bila jumpa saja, saya terus buka telefon itu dan tengok-tengok ada SMS dari perempuan lain, siap berabang-abang lagi. Saya tunggu suami di depan pintu bilik. Selesai saya dia mandi, saya tanya dia siapa perempuan yang SMS dia itu?? Dia tidak jawab, saya lempar telefon itu ke dinding. Hancur!
Suami saya menangis dan merayu tidak mahu buat lagi. Merayu pada saya supaya jangan tinggalkan dia. Saya pergi kerja macam biasa, sampai saja di pejabat, saya telefon perempuan itu, saya beritahu perkara sebenar dan ajak berjumpa. Perempuan itu tidak tahu suami saya sudah beristeri. Rupa-rupanya, suami saya balik lambat sebab selalu berdating dengan perempuan itu. Perempuan itu berjanji tidak mahu cakau suami saya lagi.
Tetapi saya tidak bodoh, esok say pergi intip dia di tempat kerjanya. Memang diaorang berjumpa lagi. Masa itu saya tidak ada kereta. Saya follow mereka dengan menaiki teksi. Rupa-rupanya mereka pergi makan tengah hari sekali. Memang geram waktu itu, tengah diaorang makan, saya pergi ke arah meja mereka. Sirap atas meja diaorang itu saya simpah atas muka suami saya dan muka perempuan itu.
Pada masa itu, saya cuma bercakap dalam nada yang paling lembut dan manja. Saya minta suami buat keputusan, sila pilih saya atau perempuan itu. Dia bangun dan pilih saya. Saya tanya pada perempuan itu, kenapa ganggu suami saya lagi? Perempuan itu cakap, sebab tidak boleh lupa. Konon cinta sangatlah. Saya beritahu pada perempuan itu, lepas ini kau jaga-jaga, aku akan upah seorang perempuan untuk kacau ayah kau. Memang aku tidak boleh buat kau, tetapi aku akan buat pada keluarga kau. Aku sudah siasat dan tahu semua benda pasal kau, mak ayah kau, adik beradik kau.
Lepas itu saya blah, suami saya ikut saya balik. Lepas saja kejadian itu, suami saya jadi suami mitahli untuk beberapa bulan. Saya pula mengandung anak kedua dengan harapan, bila bertambah anak, suami akan menjadi lebih bertanggungjawab. Tetapi, lahir saja anak kedua kami, suami sekali lagi buat peragai, kali ini dengan budak perempuan dekat dengan rumah sewa saya. Siap hantar pergi kerja bagai.
Sekali lagi saya kumpul bukti, cukup bukti, terus serang. Kali ni dua-dua saya belasah. Perempuan itu tahu suami saya sudah beristeri, tetapi gatal juga mahu melayan. Hati saya sudah mula tawar. Tetapi masa itu, saya masih muda dan saya takut kalau saya bercerai, mesti keluarga saya salahkan saya. Tetapi hati saya dendam dengan suami.
Mulai pada hari itu, saya tidak lagi bertolak ansur dengan suami. Saya saya, saya gunakan sepenuhnya untuk saya. Saya tidak bayar ansuran kereta sebab kereta atas nama dia. Saya beli makan untuk saya dan anak-anak saja. Duit saya, saya joli dengan anak-anak. Akhirnya, kereta dia kena tarik. Saya buat bodoh, suami pergi kerja jalan kaki. Kawan-kawan dulu semuanya hilang. Keperluan anak, 100% saya minta dari dia. Susu anak tidak ada, saya minta dia pergi beli. Dia cakap, mahu pergi naik apa, kereta sudah tiada. Tunggu esok dia balik kerja, dia beli. Saya cakap pada suami, pergilah jalan kaki. Anak mahu susu tidak boleh tunggu sampai esok.
Tidak lama selepas itu, suami saya naik pangkat. Gaji dia pun naik. Suami sambung bayar kereta kawan dia, Proton Iswara. Bila sudah ada kereta baru, suami beli pula telefon baru. Dia lupa, dia masih di dalam pemerhatian saya lagi. Sekali lagi suami buat perangai. Suami saya yang gatal sebenarnya. Sibuk SMS perempuan lain. Bila kantoi sekali lagi, sekali lagi telefon yang menjadi mangsa. Pecah telefon baru dia itu saya kerjakan. Saya tanya dia, siapa perempuan itu, dia tidak jawab. Memang masa itu saya naik angin. Saya kejar dia dengan pisau potong ayam. Nasib baik dia sempat masuk bilik dan kunci pintu.
Selepas peristiwa itu, saya memang berdendam dengan dia. Hidup dia pun jadi kucar kacir. Dia dibuang kerja sebab selalu datang lambat. Semenjak kes itu, saya memang abaikan dia walaupun tinggal satu bumbung. Saya siap pergi kerja, dia saya lantakkan saja. Anak-anak saya tinggalkan dengan dia. Pandai-pandailah dia urus. Sebab itu dia selalu lambat pergi kerja. Lepas kena buang kerja, kereta tidak mampu bayar, kawan dia ambil semula kereta Proton Iswara itu. Saya memang tidak mahu menolong. Masa itu saya tidak ada kereta lagi. Saya pergi kerja naik bas atau teksi. Saya rela susah naik bas daripada beli kereta, sebab saya tahu, kalau saya beli kereta, mesti dia akan tumpang senang.
Setiap malam, saya akan terbayang semua kisah-kisah kecurangan suami. Hati rasa macam terbakar. Waktu itu saya tidak boleh tengok muka dia. Jadi geram sangat. Saya mahu dia rasa, macam mana saya rasa. Keesokkannya, sebelum balik kerja, saya pergi ke bandar. Saya beli sebuah telefon yang paling murah dan kim sim yang baru. Saya guna nombor baru itu untuk SMS ke nombor saya sekarang. Konon-kononnya ada orang lain yang hantar kepada saya.
Sengaja saya simpan semua SMS cinta-cinta itu di dalam telefon saya. Dua tinga minggu itu, saya asyik dengan telefon saya. Tidak berenggang dengan telefon. Sebenarnya pada waktu itu, tiada apa-apa pun tetapi saya sengaja berlakon supaya dia curiga. Memang nampak dia curiga sebab dia sudah mula menegur saya berSMS dengan siapa itu. Bila sudah banyak SMS romantik di dalam telefon saya, saya tinggalkan telefon itu sewaktu saya ke pejabat. Telefon baru itu memang ada dengan saya. Tengah hari itu, dia telefon ke nombor baru saya. Saya cuma tersenyum. Saya biarkan panggilan tanpa dijawab. Banyak kali dia telefon ke nombor baru saya, tetapi saya tidak jawab sehinggalah dia menghantar SMS yang berbunyi;
“Kau sape? Kenapa ganggu isteri aku! Jawab call aku!”
Saya berasa sangat puas hati. Saya mahu dia rasa apa yang saya rasa biarpun terpaksa berlakon. Tidak lama lepasitu, dia datang ke pejabat saya dengan kereta kawan dia. Dia bawa saya pergi makan dan tanya siapa lelaki yang SMS saya itu. Saya hanya ketawa dan tanya pada dia;
“Pedih tak abang ?”
Saya tinggalkan dia dan terus balik ke pejabat. Semenjak dari itu, suami saya mula berubah. Hampir setahun saya mengambil masa untuk ikhlaskan hati menerima dia kembali. Tiap-tiap malam, saya terbayang suama yang dia sudah buat pada saya. Kesusahan dan keperitan pada waktu itu sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Akhirnya, saya terima dia. Saya mohon ampun pada dia. Saya cium tangan dia, saya tahu, saya pun banyak buat salah. Saya tahu, saya kadang-kadang tidak dapat menahan marah apabila tahu dia curang dan khianati saya. Suami saya menangis teruk pada waktu itu. Dia beritahu saya, dia sudah rasa apa yang saya rasa. Dia menyesal. Saya cakap pada suami, ini peluang dia yang terakhir saya berikan pada dia. Saya mahu dia betul-betul berubah.
Alhamdulillah, suami pun sudah berubah. Sekarang dia sudah pun berniaga sendiri. Pernah sekali gulung tikar, 3 tahun lepas kami cuba lagi. Alhamdulillah, rezeki Allah SWT. Anak pun sudah bertambah seorang lagi. Kami pun sudah semakin matang. Masih lagi bergaduh sekali sekala, tetapi bukan sebab ada orang ketiga. Kesemua bisnes dia, saya yabg uruskan. Dia jadikan saya orangg terpenting di dalam hidup dia dan saya pun jadikan dia orang yang terpenting di dalm hidup saya. Apa-apa saja perkara, kami akan maklumkan. Walaupun perkara itu kecik, tetap akan beritahu. Dugaan semalam, walaupun pedih, mengajar kami banyak perkara. Dugaan semalam, kami sudah tempuh dan untuk yang akan datang, kami mohon Allah SWT kuatkan hati kami untuk menempuhi bersama-sama.
Sekarang, suami saya banyak masa di rumah. Cuma saya kadang-kadang bosan bila dia ada di rumah sebab suami sekarang sudah dapat hobi baru, membebel. Bila meningkat usia ini dia jadi kaki bebel pula. Tetapi saya terima daripada jadi kaki perempuan, 10 kali saya lebih rela suami jd kaki bebel mcm sekarang. Doakan kami berkekalan ke jannah, InshaAllah. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Jadikan Allah utama dalam hidup kita, inshaaAllah, kita akan kuat berdepan ujian Allah SWT.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci