728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 6 April 2017

    Bukan Islamofobia Tetapi Miso-Islam



    Oleh : Rehan Ahmad



    Islamofobia adalah istilah yang terhasil apabila perkataan “Islam” dan “fobia” digabungkan. “Islam” berasal dari bahasa Arab dan merujuk kepada agama yang mempunyai 1.6 billion penganut manakala “fobia” pula berasal dari Bahasa Greek.


    Fobia secara umumnya bermaksud takut, maka akan digabungkan dengan perkataan-perkataan lain untuk membentuk satu bentuk ketakutan yang spesifik. Sebagai contoh, takut kepada labah-labah disebut “arachnophobia”, dan lain-lain perkataan seumpamanya.


    Maka, Islamofobia itu adalah merujuk kepada ketakutan terhadap Islam atau orang yang menganut agama Islam. Seringkali, penindasan dan diskriminasi ke atas umat Islam di seluruh dunia dirujuk sebagai Islamofobia secara umum. Istilah ini dikatakan wujud pada tahun 1991 dan ditafsirkan sebagai “Permusuhan yang tidak berasas terhadap orang Islam yang membawa kepada ketakutan atau kebencian terhadap kesemua atau majoriti Muslim”.


    Istilah ini telah digunapakai untuk merujuk kepada penindasan yang dialami oleh umat Islam seluruh dunia. Selain itu, ianya juga merupakan satu usaha untuk menghapuskan diskriminasi terhadap umat Islam. Seringkali istilah ini digunapakai dari perspektif politik dan perjuangan golongan yang tertindas.


    Setelah sekian lama penggunaan istilah ini, ramai yang dapat memahami penindasan terhadap umat Islam dan mula bertimbangrasa serta membantu dalam mengakhiri penindasan ini.


    Namun perkataan ini tidak begitu mencerminkan ketakutan apabila kerajaan-kerajaan Barat gemar mengebom negara-negara Islam, mengembalikan ketamadunan yang sekian lama terbina ke zaman batu.


    Seperti Presiden Amerika Syarikat yang baru, Donald J. Trump yang telah menghalang kemasukan warganegara dari 6 negara Islam ke Amerika Syarikat.


    Tindakan ini dibuat tanpa wujudnya sebarang bentuk provokasi kerana negara-negara ini sebenarnya tidak mampu untuk menyerang mahupun mengancam keamanan Amerika Syarikat.


    Tindakan ini tidak selari dengan definisi “fobia” malah ianya lebih hampir kepada istilah Greek yang disebut “miso” atau dalam erti kata lain “kebencian”.


    Baru-baru ini, anak kepada arwah Muhammad Ali iaitu Muhammad Ali Jr. telah ditahan di Lapangan Terbang Ft. Lauderdale-Hollywood, Florida semata-mata kerana agamanya. Menurutnya, pegawai imigresen telah bertanyakan soalan-soalan yang tidak relevan yang melibatkan agama anutannya iaitu Islam.


    Perkara-perkara seperti ini banyak menghantui umat Islam yang melancong atau bekerja di negara-negara Barat. Bagaimana mungkin ini boleh dikatakan ketakutan terhadap Islam? Ini kerana ciri-ciri ketakutan tidak wujud. Namun apa yang wujud adalah ciri-ciri penindasan.


    Adakah penjajah yang menindas kita sebelum merdeka dahulu takut kepada kita? Sudah tentu tidak; dan mereka hanya memperalatkan rakyat tanah jajahan mereka demi kekayaan duniawi. Begitu juga dengan serangan bertalu-talu ke atas Islam dan umat Islam yang dibuat oleh anasir-anasir liberal dalam dan luar negara.


    Adakah ini berlaku kerana takut dengan Islam atau benci dengan Islam? Sehinggakan banyak organisasi-organisasi ini ditaja oleh pihak Barat yang ingin mempromosikan agenda liberal, termasuk kebebasan mutlak dalam beragama, hak golongan LGBT dan lain-lain isu sekitarnya.


    Sekiranya kita menganggap tindakan-tindakan ini adalah hasil daripada ketakutan terhadap Islam, maka kita telah memilih untuk melihat pada istilah Islamofobia dan bukan maknanya. Maka untuk berlaku adil, perkataan “miso-Islam” itu lebih sesuai kerana menggambarkan dengan lebih tepat apa yang berlaku pada dunia moden hari ini dan bukan sekadar istilah yang menjadi indah khabar dari rupa.


    Kebencian kepada Islamlah yang mendorong pelbagai pihak untuk memusuhi Muslim. Sebagai contoh, kebanyakan pelarian di dunia pada hari ini terdiri daripada umat Islam. Pada satu zaman dahulu, negara-negara Islam menjadi tempat berteduh bagi mereka yang melarikan diri daripada penindasan.


    Namun hari ini umat Islam yang ditindas, dan apabila ingin mencari perlindungan di negara-negara Barat, keadaan tidak seperti apa yang diharapkan. Mereka yang pada satu masa dahulu pernah dibantu, pada hari ini, generasi mereka yang terkemudian menindas umat Islam di seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai cara.


    Istilah Islamofobia pada hari ini tidak dapat menggambarkan realiti kehidupan, apa yang lebih tepat adalah perkataan miso-Islam. Miso-Islam adalah istilah yang lebih tepat bagi menggambarkan polisi-polisi luar negara-negara Barat.


    Lihatlah bagaimana Timur Tengah dibom tanpa henti sejak bertahun-tahun lalu. Hasilnya adalah kebinasaan yang tiada tolok tandingannya.  Jika keadaan geopolitik dunia Islam boleh digambarkan dengan satu istilah, maka istilah itu adalah miso-Islam dan bukan Islamofobia.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Bukan Islamofobia Tetapi Miso-Islam Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top