728x90 AdSpace

  • Latest News

    Sunday 9 April 2017

    Buang Pil Khayal Atas Lantai




    Buang pil khayal di atas lantai selepas menyedari pusat hiburan diserbu penguatkuasa.

    Itu antara gelagat beberapa pengunjung di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini selepas premis berkenaan diserbu sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam ops khas yang diadakan awal pagi semalam.

    Operasi bersepadu yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa (SPRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berjaya menahan 324 pengunjung yang sebahagiannya remaja bawah umur.

    Malah turut dikesan dalam operasi berkenaan, kakitangan kerajaan dan anggota keselamatan yang turut terlibat dengan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan terbabit.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ketika serbuan dilakukan pegawai operasi menemui kira-kira 42 biji pil khayal bertaburan di atas lantai yang dipercayai dibuang oleh pengunjung pusat hiburan terbabit.

    Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana mereka bimbang akan dikesan oleh anggota penguatkuasa kerana memiliki bahan terlarang itu.

    "Dalam serbuan berkenaan seramai 250 orang lelaki dan 72 wanita telah diperiksa dan hasilnya mendapati 29 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, tiga orang positif dadah jenis opiat (heroin) dan 11 orang positif ganja.

    "Kita juga berjaya mengesan beberapa penjawat awam dan anggota keselamatan yang turut terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sini dan mereka tidak akan terlepas dengan hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di negara kita," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan operasi berkenaan di sini, hari ini.

    Ketika diminta mengulas mengenai penglibatan remaja bawah umur dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan berkenaan, Nur Jazlan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bersikap tegas kepada pemilik pusat hiburan yang membenarkan remaja bawah umur masuk ke dalam premis hiburan mereka.

    "Pihak PBT jangan tutup mata dalam isu ini dan mereka juga perlu melakukan pemantauan agar semua premis pusat hiburan di negeri ini mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan.

    "Tindakan tegas perlu diambil sekiranya mereka (PBT) dapat mengesan premis yang melepaskan remaja bawah umur untuk masuk termasuk menarik balik semula lesen yang telah dikeluarkan," katanya.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Buang Pil Khayal Atas Lantai Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top