728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 20 April 2017

    Apabila Idea Kita Ditiru Orang




    Oleh : NORDEN MOHAMED


    PAGI tadi saya menerima sebuah mesej Whatsapp daripada Shadidi, seorang teman penulis. Dia adalah di antara penulis yang bukan old school. Platform tulisan lazimnya kini ialah di laman sosial seperti Facebook dan juga blog. Dia juga rajin meletak foto di Instagram. Dan kapsyen tulisannya kerap dipaut ke laman Twitternya. Sekali-sekala saya terbaca juga karyanya apabila muncul di laman Facebook saya.

    Mesej Whatsapp teman saya ini agak panjang. Nadanya penuh kekesalan. Berlainan sekali dengan gaya tulisan Shadidi yang lazimnya penuh motivasi dan pengajaran. Mungkin kerana saya salah seorang daripada tempatnya untuk mengadu yang dipercayai, maka dia tidak segan menggunakan bahasa dan istilah-istilah penuh emosi.

    Mengapa dia tiba-tiba begitu? Menurut Shadidi, seseorang telah menceduk tulisan anekdot di laman Facebooknya lalu dijadikan seolah-olah tulisan itu dia yang punya. Oleh kerana orang yang menceduk bulat-bulat tulisannya itu seorang selebriti, maka paparan tulisan itu mendapat ribuan likes dan ratusan shares. Ini membuatkan Shadidi terkilan. Apatah lagi namanya tidak langsung diberi kredit.

    Kata Shadidi, perbuatan itu amat memalukan.  Selebriti itu memplagiat tulisannya. Tak malu mencetak rompak! Oleh kerana Shadidi begitu kecewa dengan apa yang terjadi, dia menyuarakan hasratnya untuk membuat laporan polis. Biar selebriti itu dikenakan tindakan memplagiat! Namun, Shadidi meminta pandangan saya, apakah patut dia ambil tindakan sedemikian?

    Kami sama-sama penulis. Jadi saya boleh rasa empati terhadap apa yang sedang bergolak di dada Shadidi. Saya ada jawapan. Malah, tatkala membaca separuh mesejnya pun saya sudah punyai pandangan apa yang akan saya lakukan sekiranya saya berada di kedudukan sebegitu.

    Namun, saya rasa sebilangan daripada anda yang membaca pendirian ini tidak semestinya bersetuju dengan saya.

    Jawapan saya kepada Shadidi ialah: ‘Aku tahu engkau rasa sakit hati bila tulisan engkau diambil dan dipapar tanpa kredit. Dengan bangga selebriti itu menjawab setiap komen orang seolah-olah memberi ulasan terhadap tulisannya sendiri. Dan, pendirian aku dalam isu plagiat ini disandarkan kepada andaian kalaulah aku berada dalam situasi yang serupa macam kau. Pandangan aku mudah aje. Aku tak akan buat apa-apa!

    Engkau tak perlu buat laporan polis! Jangan terkejut, bro! Halalkan sahaja ilmu yang disebar. Bukankah idea untuk menulis anekdot itu asalnya dari Yang Maha Pencipta? Bukannya idea engkau jugak! Bila engkau maafkan dia, si selebriti itu diampunkan dosa  sesama manusia, iaitu dengan kau! Tak perlu juga kau beritahu dia yang kau maafkan dia. ALLAH tahu!

    Mudah-mudahan setiap pahala kebaikan anekdot kerana dijadikan iktibar oleh para pembaca itu kau jugak yang dapat. Dari segi dunia, memang nampak macam rugi sebab orang ingat, selebriti itulah yang mencipta anekdot itu. Tetapi bukankah ALLAH itu Al-Hasib, Yang Maha Mengira? Dia tahu ke akaun pahala siapakah kebaikan anekdot itu hendak disimpan-NYA.

    Mari kita renung jauh sedikit. Fikirkan bagaimana kalau orang dulu yang mencipta karipap itu meniatkan ciptaan karipap itu hak dia dan tak akan menghalalkan sesiapa yang meniru resipinya?

    Kalau dia bertindak begitu, tentu sekali ilmu resipi karipap tidak tersebar luas. Kita tak akan merasa kesedapan karipap kerana hanya orang yang ada hakcipta asal karipap sahaja yang dibolehkan buat karipap.

    Entah-entah kalau si pencipta karipap itu tidak menghalalkan resipinya dari ditiru orang, kita pada hari ini berdosa makan karipap kerana turut makan resipi curi!

    Ulama dahulu belajar, dan kemudian menyebarkan ilmu secara percuma. Ambil dan amalkanlah ilmu sepenuh-penuhnya tanpa minta balasan material.

    Pada hari ini, terdapat sebilangan ustaz yang menggalakkan buku-buku dan kitab-kitab yang mereka tulis itu disebar dan dicetak tanpa meminta apa-apa royalti, asalkan ilmunya tersebar dan menjadi manfaat umat. Mereka percaya itu ilmu ALLAH yang harus dikongsikan.

    Untuk kau, Shadidi… jika memaafkan itu adalah harga sebuah ruang di syurga, maafkanlah selebriti itu. Semoga, anekdot itu terus berkembang luas hingga menjadi amal ilmu yang dimanfaatkan bila kau dah tak ada lagi di dunia ini.

    Demikian pandangan saya. Tidak sampai seminit, Shadidi membalas jawapan saya dengan sebuah mesej: ‘Terima kasih, bro. Aku memang terfikir macam tu. Cuma tadi, hati aku berbolak-balik samada nak saman selebriti itu atau tidak. Aku yakin, anugerah sebuah syurga itu lebih baik!’

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Apabila Idea Kita Ditiru Orang Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top