LEICESTER: Kapten Wes Morgan berkata Leicester City sekali lagi melakukan perkara mustahil selepas jaringannya mencetus kemenangan 2-0 ke atas Sevilla awal pagi tadi dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Morgan dan Marc Albrighton masing-masing meledak satu gol di Stadium King Power dan Kasper Schmeichel menyelamatkan penalti lewat permainan oleh Steven N’Zonzi untuk membantu Leicester mengatasi defisit 2-1 serta merekod kemenangan 3-2 secara agregat.
Leicester gagal dalam kempen mempertahan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini sehingga menyebabkan pengendalinya, Claudio Ranieri dipecat, tetapi Morgan percaya perjalanan di pentas tertinggi Eropah kali ini menyamai kejuaraan epik liga musim lalu itu.
“Kami membuktikan ramai yang salah dan sekali lagi melakukan perkara mustahil. Menakjubkan. Saya sendiri masih tidak mempercayainya.
“Kami adalah pendatang baru Liga Juara-Juara, tidak sangka kami mara sejauh ini dan sekarang kami di sini,” kata bek tengah itu.
Leicester yang kini dikendali Craig Shakespeare, akan mengetahui lawan di kelompok lapan terakhir itu selepas undian Jumaat ini dan Morgan tenang menantikan gergasi Eropah mana yang bakal ditemui.
“Kami akan berdepan sesiapa saja. Malam menakjubkan buat Leicester. Kami masih perlu memberi tumpuan kepada liga, tetapi kami akan menikmati saat ini,” kata Morgan yang pasukannya belum pernah mara ke suku akhir kejohanan peringkat tertinggi Eropah itu. – AFP
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci