Pak Said Zahari telah meninggal dunia semasa tidur di rumah kediaman anaknya Rismawati di Puncak Alam, Selangor pada kira-kira 12.30 tengahari 12 April 2016 dalam usia 88 tahun.
.
Said Zahari dilahirkan dalam sebuah keluarga Melayu keturunan Jawa di Kampung Kebun Bunga, Singapura pada 18 Mei 1928.
.
Beliau mendapat pendidikan Sekolah Melayu di Singapura sebelum Perang Dunia Ke-2, dan meneruskan pengajian untuk memperoleh sijil Senior Cambridge selepas pendudukan Jepun, sambil dalam senyap-senyap mengikuti gerakan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah British.
Beliau kemudian menceburi bidang kewartawanan dengan menyertai akhbar Utusan Melayu pada 1951 yang ketika itu gigih meniup api perjuangan kemerdekaan bukan sahaja di Malaya tetapi juga di tanah jajahan yang lain.
Oleh sebab bakat dan ketokohannya, beliau diberi kepercayaan untuk memimpin akhbar itu selaku Ketua Pengarang pada 1959.
Pada 1961, apabila pimpinan Umno dan pemerintah Malaya yang tidak senang dengan kelantangan Utusan telah berusaha mengambilalih pemilikan akhbar tersebut dan mengubah polisinya, Said memimpin pemogokan bersejarah Utusan selama tiga bulan menentang tindakan Umno tersebut demi membela kebebasan akhbar.
Pahit getir di penjara
Cabaran demi cabaran menimpa hidup beliau sekeluarga.
Pada 2 Februari 1963, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh rejim Lee Kuan Yew Singapura selama 17 tahun, mengakibatkan anak-anaknya dibesarkan tanpa bapa di sisi mereka.
Namun berkat kegigihan Puan Salamah, isteri Pak Said, bukan sahaja anak-anak itu mendewasa dengan baik bahkan Pak Said juga dapat memperteguhkan azam dan menundukkan segala pahit getir di penjara.
Beliau antara tahanan politik paling lama merengkok dalam tahanan sama ada di Malaysia mahupun Singapura serta dianggap sebagai ikon nurani suara kebebasan dan keadilan oleh ramai angkatan lama dan juga angkatan baru.
Beberapa tahun setelah keluar daripada tahanan, beliau berpindah dari Singapura ke Malaysia untuk bersama-sama dengan anak-anaknya dan menyambung kehidupan dan perjuangannya.
Seorang wartawan dan penulis yang tajam pena dan daya imaginasinya, pelbagai kisah hidup, perjuangan serta pemikiran beliau mengenai tanahair, perjuangan anti-penjajah dan pembebasan umat manusia telah dirakamkan dengan baik dalam tiga jilid memoir beliau, Meniti Lautan Gelora (2001), Dalam Ribuan Mimpi Gelisah (2006), dan Suara Bicara (2015).
Pemergian Salamah, rakan karib seperjuangan yang juga isteri beliau, secara tiba-tiba kerana serangan sakit jantung pada Disember 2004, sebelum Pak Said sempat menyiapkan jilid kedua memoirnya telah memberikan pukulan berat kepada Pak Said, tetapi beliau menerimanya dengan tabah. Pak Said tinggal bersama-sama anak dan cucunya.
Dalam tempoh ini, beliau terus menerus dikunjungi oleh kawan-kawan lama, para wartawan dan juga aktivis-aktivis angkatan muda yang ingin menimba ilmu dan pengalaman serta mendapat inspirasi daripada semangat juang beliau.
Perjuangan belum selesai
Beliau sering muncul di pelbagai media melalui temuramah mengenai pelbagai isu dalam dan luar negara khususnya mengenai kebebasan media dan juga sejarah perjuangan melawan penjajahan.
Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini semenjak beliau jatuh sakit dan semakin uzur, memang orang ramai tidak banyak lagi mendengar berita Pak Said.
Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pada 2 Ogos 2015 semasa pelancaran jilid ketiga memoirnya, Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari di Kuala Lumpur.
Dalam dewan yang penuh sesak dengan para hadirin di Bangunan LLG itu, Pak Said yang berkerusi roda menyampaikan ucapannya buat kali terakhir di hadapan umum.
Walaupun nada suaranya tidak segagah seperti dahulu, gema pesannya tetap menusuk kalbu: ‘Hidup adalah perjuangan’.
Dua tahun sebelum itu, sebuah esei beliau diterbitkan dalam buku koleksi khas bersempena ulangtahun ke-50 penangkapan besar-besaran oleh rejim Lee Kuan Yew di bawah Operation Cold Store.
Judul eseinya, “How Could I Die, The Fight Is Not Over” yang membawa maksud ‘hidup perlu diteruskan kerana perjuangan belum selesai’ mencerminkan semangat juangnya yang gigih dan merupakan legasi yang diwariskan kepada kita semua khususnya generasi baru.
Pak Said sudah tidak ada lagi bersama kita tetapi jasa beliau tetap dikenang dan disanjung.
Sebagai tokoh wartawan yang berprinsip dan berani, beliau berdiri pada garis yang jelas dan tegas.
Sekalipun beliau tidak pernah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara sungguhpun beliau antara pejuang awal yang gigih membela kebebasan dan etika kewartawanan yang murni melalui akhbar Utusan yang dipimpinnya, peranan dan sumbangan beliau tetap mendapat pengiktirafan oleh pelbagai pihak di dalam dan luar.
Dalam gelanggang politik, Pak Said diakui sebagai seorang patriot ulung, seorang pejuang anti-kolonial untuk kemerdekaan dan kebebasan.
Beliau juga pejuang perpaduan kaum serta lambang ikatan sejarah dan perpaduan rakyat Malaysia dan Singapura.
Kita tidak lupa satu keisimewaan Pak Said iaitu kemahirannya dari segi bahasa.
Selain amat mahir dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, beliau juga menguasai bahasa Mandarin yang dipelajarinya daripada kawan-kawan semasa dalam tahanan sementara beliau pula mengajar tahanan-tahanan lain khususnya kawan-kawan Tionghua bahasa Melayu.
Alangkah senang dan bahagia kita menyaksikan setiap kali beliau mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya, tetamunya pasti berbilang kaum.
Beliau melayani semua tetamu itu dengan penuh ramah mesra dan kita sering mendengar beliau berbicara dalam bahasa Mandarin dengan kawan-kawan Tionghua.
Ceria hingga akhir hayat
Pak Said ialah seorang tokoh ulung dengan kegigihan yang amat luar biasa. Beliau teguh tidak berganjak dalam tahanan sekalipun menghadapi pelbagai seksaan fizikal dan mental dan nyawanya terancam.
Beliau juga tidak tunduk kepada penyakit dan sentiasa bersikap ceria, suka berjenaka dan optimis hingga ke akhir hayatnya.
Pak Said pernah diserang angin ahmar pada Julai 1993, namun beliau bangkit semula dengan gigih melawan penyakit sehingga sempat menerbitkan dua jilid memoirnya.
Walaupun sekali lagi diserang angin ahmar pada Disember 2012 yang menyebabkan tangan kanannya lumpuh, namun penyakit itu tidak dapat menundukkan semangat juangnya yang tetap gigih dan beliau bertekad menyiapkan jilid ketiga memoirnya.
Kita juga amat terkesan dengan sifat beliau sebagai seorang tokoh berjiwa besar.
Sebagai pencerminan daripada jiwa besarnya, beliau tidak menyimpan sebarang dendam peribadi terhadap mereka yang merampas kebebasannya.
Hakikat ini jelas terpancar apabila berbicara dengannya dan juga tersurat dalam memoirnya yang pertama, Meniti Lautan Gelora.
Apabila mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, yang bertanggungjawab menghumbankannya ke penjara meninggal dunia pada 23 Mac 2015 pada usia 91 tahun, reaksi Said begitu bersahaja.
Menurutnya, isu beliau dengan Lee Kuan Yew bukan soal peribadi; ia mengenai dasar sebuah rejim zalim yang membangun sebuah negara pulau menjadi sebuah negara maju dengan membisukan dan menghapuskan hak asasi pihak lawan serta memecahbelahkan keluarga para pejuang dan menghancurkan jalur hidup mereka.
Memeluk pertiwi
Said Zahari berdiri sebaris dengan pejuang-pejuang kebebasan yang hebat, yang telah mengorbankan masa muda mereka yang paling berharga dalam penjara dan mengobarkan semangat juang yang tidak boleh ditundukkan.
Walaupun diri Pak Said dan tokoh-tokoh lain yang senasib dengannya pernah dipenjarakan, jiwa mereka bebas memeluk pertiwi manakala pemikiran mereka menjangkau luas di persada dunia. Mereka telah memahatkan nama yang harum dalam sejarah perjuangan kebebasan dan keadilan manusia sejagat yang kekal abadi.
Pak Said sudah tidak ada lagi dengan kita, tetapi meminjam kata-kata penyair agung A Samad Said, dalam ketiadaan amat terasa kehadirannya.
Dalam kenangan, kita tetap merindui dan menyanjungi imej besar Pak Said!
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dan meletakkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman!
Alfatihah
Penulis adalah Datuk Abdul Rahman Embong, seorang profesor emeritus dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci