Di bandar Daleh, kira-kira 120 kilometer di utara Aden, sekurang-kurangnya 19 orang anggota kumpulan Houthi dan 15 orang penyokong Presiden maut dalam pertempuran semalaman.
Dalam kejadian berasingan, tujuh terkorban di wilayah Abyan, selatan Yemen apabila kumpulan pro-Abdrabbuh menawan sebuah pangkalan tentera yang setia kepada bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh, yang didakwa menyokong pemberontak Houthi.

Sementara itu, Houthi bersedia mengadakan rundingan damai jika kempen serangan udara diketuai Arab Saudi dihentikan dan rundingan itu dipantau oleh pihak ‘tidak agresif’.
Bekas penasihat Abdrabbuh, Saleh al-Sammad yang kini merupakan pemimpin kanan kumpulan pemberontak itu berkata, penduduk Yemen juga menolak kepulangan Presiden itu yang melarikan diri ke Arab Saudi selepas kumpulan Houthi mara ke Aden pada bulan lepas.

“Kami akan mengekalkan kedudukan kami dalam dialog dan kami mahu rundingan ini diteruskan tanpa mengira apa yang telah berlaku.

“Kami tiada syarat kecuali menghentikan serangan udara dan melakukan rundingan dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan dengan pihak antarabangsa atau serantau yang tidak bertindak agresif terhadap penduduk Yemen, boleh menjadi pemantaunya,’’ katanya dalam satu e-mel kepada Reuters.
Serangan udara diketuai Arab Saudi, mengebom kubu dan lokasi Houthi sejak 11 hari lalu dalam usaha mengundurkan kumpulan pemberontak itu dan mengembalikan Abdrabbuh sebagai pemimpin Yemen.
Rundingan damai Houthi dan Abdrabbuh anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak beberapa minggu lalu gagal mencapai sebarang penyelesaian.

Saleh berkata, beliau juga mahu sesi dialog berkenaan disiarkan secara langsung kepada penduduk Yemen supaya mereka tahu siapa yang bersalah dalam konflik itu.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman juga menyatakan, negara itu juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pihak bertelagah di Yemen di bawah anjuran Majlis Kerjasama Teluk (GCC). – Reuters