Tuesday, 6 April 2021

Tidak pernah beri arahan tampal syarat baru

 


PETALING JAYA – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesahkan surat arahan berkenaan permohonan rentas negeri yang tular di laman sosial telah ditampal di salah sebuah balai di bawah pentadbiran IPD berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, namun begitu, pihaknya tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota atau Ketua Balai untuk menampal arahan atau syarat itu di Balai Polis.

“Saya cuma minta anggota agar menyemak dan menyiasat secara terperinci berkenaan permohonan rentas negeri oleh orang awam berkenaan alasan apa dan destinasi yang nak dituju.

“Jika alasan yang diberi tidak kukuh dan tanpa bukti yang jelas, surat rentas negeri tidak boleh diberi sewenang-wenangnya sepertimana yang telah ditetapkan pihak atasan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelasnya, pihaknya sudah memperketatkan pemberian kelulusan surat permohonan rentas negeri sejak dahulu ia dikuatkuasakan.

“Tidak timbul isu ia baru diperketatkan di kawasan pentadbiran IPD ini. Surat itu ditampal oleh anggota tanpa pengetahuan saya.

“Saya cuma ingatkan para pegawai dan anggota agar tidak memberikan kelulusan permohonan secara mudah tanpa menyelidik secara mendalam. Kita tidak mahu ada pihak yang menyalahgunakan surat berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial berkaitan arahan Ketua Polis Daerah berkenaan syarat permohonan rentas negeri yang ditampal di sebuah Balai Polis di sekitar Kuala Lumpur.

Arahan tersebut ditampal ekoran isu Instafamous, selebriti dan artis yang menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberi pihak polis.

Berikutan arahan itu, orang ramai tidak berpuashati dan bertindak mengecam individu popular tersebut, netizen berpendapat angkara mereka ia menyukarkan orang ramai untuk memohon surat kebenaran rentas negeri selepas ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci