PUTRAJAYA - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan terhadap mana-mana premis ataupun lokaliti yang mempunyai kes jangkitan koronavirus (Covid-19) selepas mereka memulakan operasi Isnin ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya ada kes positif di sesebuah kawasan atau lokaliti terbabit, maka PKPD dilaksanakan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ujian saringan terhadap pekerja serta kakitangan terlibat.
Menurutnya, KKM juga akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan setiap agensi dan kementerian terbabit.
“Selain itu, kita juga akan memperkasakan perkara ini dalam komuniti berkaitan termasuk pengurusan kilang atau premis tempat kerja, mereka diberikan tanggungjawab bersama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Jadi mereka perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM.
"Jika mereka ingkar, maka kita akan lihat apa tindakan yang boleh dikenakan sekiranya ada kes di lokaliti itu termasuk melakukan PKPD dan menutup kawasan itu serta menjalankan saringan,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, mereka yang positif akan diasingkan dan mengenakan kuarantin terhadap mereka yang mempunyai kontak rapat di lokaliti tersebut seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, keputusan kerajaan untuk memulakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi dengan membenarkan operasi semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati, susulan kejayaan semua pihak untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 pada 14 April lalu.
Katanya, ketika ini negara sudah berada dalam fasa pemulihan berbanding tempoh pelaksanaan PKP sebelum ini.
"Beberapa minggu lalu, kita bimbang terhadap jangkitan ini kerana ada tempoh berlaku kenaikan yang tinggi dan disebabkan itu, kita meminta penangguhan (PKP) beberapa minggu.
"Tujuan utama kita adalah untuk melandaikan lekuk jangkitan itu dan kita telah berjaya melakukannya setelah mengambil langkah mengekang wabak Covid-19 sejak dari awal lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci