Sejak kebelakangan ini, nama penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew menjadi bualan hangat di media sosial kerana tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.
Bagaimanapun, Ebit Lew berkongsi kesedihannya kerana niat disalaherti dan membuat keputusan 'berehat' untuk memberi bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan itu.
Ebit turut memuat naik status di Facebooknya hari ini, "Saya minta maaf pada semua. Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung.
"Saya cuma akan transfer (pindahkan) duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja. Jangan tag saya lagi kes orang susah. Nanti habis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru saya cuba bantu.
"Saya cuma nak peluk anak saya. Saya nak peluk bidadari saya. Selamat Ramadan pada semua. Jika ini harga perlu dibayar setelah semua ini saya reda. Saya minta maaf pada semua ye. Saya salah. Kepada ALLAH saya berserah."
Menurut Ebit Lew, kisah membantu golongan memerlukan dimuat naik di laman sosial sekadar berkongsi rasa kasih sayang dengan semua.
"Saya minta maaf. Saya memang jadikan media ini medan berkongsi rasa kasih sayang dengan semua.
"Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di Facebook saya. Saya pun tak niat nak viral apa ke. Ramai anak-anak susah terbiar tahfiz saya bayarkan yuran mereka.
"Saya terasa sedih sangat. Andai saya menyusahkan sesiapa saya minta maaf. Saya memang tak boleh tengok orang tidur atas najis atau tepi jalan. Lebih seratus orang dah saya bayar penginapan dan tempat tinggal," katanya.
Ebit Lew juga berkata, beliau membelanjakan sejumlah wang simpanannya bagi menyelamatkan mereka dalam kesusahan.
"Saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang di mana-mana. Masa PKP ini dah berjuta habis. Duit simpanan saya sendiri dah sejuta ringgit saya belanjakan.
"Sekarang ramai juga mula bersama saya dalam kerja membantu dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan termasuk petugas barisan hadapan," katanya.
Dalam pada itu, dengan rasa rendah diri, Ustaz Ebit Lew memberitahu, beliau bukan sesiapa cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan Malaysia.
Sehingga jam 5.30 petang, posting beliau 93,000 tanda suka, 10,000 perkongsian dan lebih 7,000 komen dari netizen.
Rata-rata netizen terus memberi semangat agar beliau terus kuat dan tetap menyayanginya.
"Kuatkan semangat ustaz... ALLAH sayang ustaz... ramai sayang dan doakan ustaz... semoga kak pun mendapat kekuatan iman dan semangat macam ustaz... semoga ALLAH melindungi dan merahmati ustaz dan bidadari serta anak-anak ustaz." kata Zurela.
Kata Nae Jasty, "Begitu la ustaz bila berbuat baik tetap ada orang yang tak senang. Orang yang pernah melalui susah lebih faham keadaan orang lain yang susah. Mana mungkin hati kita tenang di rumah, memikirkan mereka yg susah di luar. Semoga ustaz dan yang lain terus berjuang."
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci