Wednesday, 1 April 2020

SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA BILANGAN 2

PERTANYAAN BERKAITAN PENDAFTARAN PROGRAM MALAYSIA MY SECOND HOME PROGRAMME (MM2H)
1. Adakah saya boleh memohon program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)?
YA, semua permohonan baru boleh dikemukakan melalui pos. Dokumen-dokumen bagi permohonan lain seperti pengeluaran simpanan dan penamatan boleh dikemukakan melalui e-mel di mm2h@motac.gov.my.
Walau bagaimanapun, semua transaksi urusan berkaitan MM2H adalah DITUTUP sehingga 30 April 2020.

2. Adakah endorsmen pertama dibenarkan sekiranya warga asing telah berada dalam Malaysia?
Urusan endorsmen pertama akan DITANGGUHKAN sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 30 April 2020. Semua pemohon dan ejen MM2H dinasihatkan untuk merancang perjalanan mengikut tarikh yang sewajarnya. Bagi yang telah berada di Malaysia, jadual urusan endorsmen akan dibuat selepas tempoh PKP ini berakhir.

3. Adakah isu hal ehwal imigresen berkaitan dengan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) seperti lanjutan visa selepas 10 Tahun (renewal), lanjutan visa berbaki (extension), pertukaran visa MM2H ke pasport baru, urusan pembantu rumah, kebenaran untuk belajar dan kebenaran bekerja dapat dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?
Semua urusan imigresen berkaitan program MM2H DITANGGUHKAN sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SYARIKAT PELANCONGAN (URUSAN PELESENAN)

4. Adakah operasi pelesenan pelancongan dijalankan seperti biasa?
Tidak. Semua perkhidmatan kaunter di ibu pejabat dan pejabat MOTAC negeri serta perkhidmatan atas talian berhubung pelesenan pelancongan DITANGGUHKAN sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Permohonan pelesenan pelancongan dalam talian diteruskan seperti biasa. Walau bagaimanapun, pemprosesan hanya akan dilakukan sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan tertakluk kepada permohonan yang lengkap. Pembayaran dalam talian ditutup bagi tujuan pelesenan.

5. Adakah pemeriksaan premis syarikat pelancongan untuk tujuan pengeluaran lesen baharu akan dijalankan?
Pengeluaran lesen baharu syarikat pelancongan boleh dikeluarkan walaupun tiada pemeriksaan premis syarikat dijalankan. Pemeriksaan premis syarikat akan dijalankan selepas mendapat tarikh baharu dari Pejabat MOTAC Negeri yang berkaitan.
Adakah aktiviti penarafan Spa & Pusat Urut Kaki (PUK) masih dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?
Aktiviti penarafan Spa & PUK adalah DIBEKUKAN sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

6. Bolehkah pihak premis mengemukakan permohonan pengelasan sekiranya Sijil Penggredan telah tamat tempoh semasa tempoh PKP?
Pihak premis boleh mengemukakan permohonan pengelasan kepada Pejabat MOTAC berkenaan sekiranya telah tamat tempoh Sijil Penggredan. Walau bagaimapun, pemeriksaan premis hanya akan dilaksanakan selepas tempoh PKP berakhir.

7. Adakah pemeriksaan pengelasan Bintang Premis Penginapan Pelancong masih dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?
Aktiviti penarafan Premis Penginapan Pelancong adalah DIBEKUKAN tertakluk kepada tarikh akhir PKP.

8. Bolehkah pihak premis mengemukakan permohonan pengelasan sekiranya Sijil Penggredan telah tamat tempoh semasa tempoh PKP?
Pihak premis boleh mengemukakan permohonan pengelasan kepada Pejabat MOTAC berkenaan sekiranya telah tamat tempoh Sijil Penggredan. Walau bagaimapun, pemeriksaan premis hanya akan dilaksanakan selepas tempoh PKP berakhir.
PREMIS PENGINAPAN PELANCONG

(HOTEL/ RESORT/ BAJET HOTEL/ HOTEL APARTMENT & SEBAGAINYA)

9. Apakah definasi Pelancong Domestik Baharu?
Pelancong domestik baharu adalah pelancong tempatan yang baru ingin menginap atau menempah penginapan di Premis Penginapan Pelancong semasa tempoh perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelancong domestik ini terdiri daripada mereka yang berstatus warganegara Malaysia, penduduk tetap/ sementara dan Pemegang Pas Sosial Jangka Masa Panjang daripada Jabatan Imigresen Malaysia seperti ekspatriat, pelajar asing, suami/ isteri asing, pekerja asing dan peserta Malaysia My Second Home (MM2H) yang masih sah.

10. Apakah waktu daftar masuk yang dibenarkan?
Premis hendaklah mematuhi syarat-syarat waktu daftar masuk yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing yang bertindak sebagai badan kerajaan yang mengawal selia dan meluluskan lesen operasi perniagaan hotel.
Pemilik premis boleh merujuk kepada PBT berkenaan untuk pertimbangan lanjut.

11. Adakah hotel boleh menerima Daftar Masuk bagi pelancong domestik yang telah berada di daerah di mana lokasi hotel tersebut terletak sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?
Hanya mereka yang telah mempunyai tempahan sedia ada dan telah menginap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dibenarkan untuk menginap di hotel.

12. Adakah hotel boleh menerima Daftar Masuk pihak-pihak yang terkandas. (Stranded Travellers)?
Hotel dibenarkan untuk menerima daftar masuk pihak-pihak yang terkandas tertakluk kepada sebab-sebab kemanusiaan atau kecemasan yang dihadapi oleh pelancong dan sekiranya perkara ini tidak boleh dielakkan dan sekiranya tidak dibenarkan akan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Bilangan yang diterima mestilah amat minima dan mengambil kira arahan MKN.
Namun demikian, tetamu baharu yang telah didaftarkan masuk hendaklah berada di dalam bilik masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

13. Adakah pihak hotel dibenarkan untuk melakukan Program Khidmat Masyarakat (CSR) kepada para petugas frontliners.
MOTAC tiada halangan tertakluk kepada persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pihak yang berwajib serta ia harus mengambilkira pematuhan kepada arahan MKN.

14. Bolehkah petugas essential services yang perlu bertugas melintasi daerah atau negeri daftar masuk hotel?
Perkara ini dibenarkan kerana dibimbangi petugas tiada tempat untuk menginap dan sekiranya tidak dibenarkan boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku dan petugas tidak dapat bertugas dengan sempurna.
Perkara ini tertakluk kepada pematuhan syarat yang berkuatkuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

15. Adakah hotel tersebut wajib mematikan semua lampu dan papan tanda dan membiarkan hotel tersebut di dalam gelap pada waktu malam?
Premis penginapan hendaklah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing yang bertindak sebagai badan kerajaan yang mengawal selia dan meluluskan lesen operasi perniagaan hotel agar mematikan semua lampu dan papan tanda dan membiarkan hotel berada di dalam keadaan gelap pada waktu malam.

16. Homestay / Housestay / Penyedia Perkhidmatan Penginapan dalam talian masih menjalankan operasi seperti biasa?
Perkara ini adalah di luar bidang kuasa Kementerian ini memandangkan premis ini tidak perlu berdaftar di bawah MoTAC. Ia menjadi tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawalselia premis berkenaan.
Sebarang aduan, ia boleh dikemukakan kepada PBT masing-masing untuk tindakan lanjut

17. Adakah sebarang bantuan kepada tetamu hotel disediakan kepada mereka yang tidak dapat keluar daripada negara?
Tetamu boleh menghubungi Kedutaan masing-masing dan/atau Jabatan Imigresen Malaysia (bertujuan untuk penyambungan tempoh visa).

18. Apakah Garis Panduan atau SOP yang terpakai kepada Premis Penginapan Pelancong untuk merancang dan bertindak balas terhadap ancaman COVID- 19?
Premis Penginapan Pelancong hendaklah mempunyai SOP dalaman sebagai langkah self-regulatory bagi mengekang penularan COVID-19 bagi tetamu yang sedang menginap semasa tempoh PKP.
Selain itu, pihak hotel perlu juga disarankan mempunyai SOP dalaman bagi mencegah penularan COVID-19 kepada petugas-petugas hotel.

19. Apakah talian hotline MOTAC yang boleh dihubungi sekiranya terdapat pertanyaan lanjut?
Sebarang soalan berkaitan program/aktiviti kementerian boleh dipanjangkan melalui emel covid19@motac.gov.my atau membuat panggilan hotline COVID-19 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di talian 03-88917189 mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 malam setiap hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini berlangsung.

KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA
31 MAC 2020

https://t.me/MKNRasmi/1123

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci