KOTA KINABALU: Hisap ganja untuk berhibur dan menenangkan fikiran.
Itu antara alasan diberikan enam individu termasuk dua beradik yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Likas, di sini,semalam.
Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kira-kira pukul 3 petang itu, semua suspek termasuk dua wanita berusia 23 hingga 29 tahun ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 56.73 gram bernilai RM567.30.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan polis menemui beberapa paket dan bungkusan pelbagai saiz berisi ganja yang disembunyikan di beberapa lokasi di rumah berkenaan.
Beliau berkata, semua yang ditahan didapati positif dadah dan mereka mengaku mengambil dadah bertujuan untuk berhibur dan menenangkan fikiran.
“Tangkapan ini adalah berdasarkan maklumat awam terhadap sarang penagihan dalam usaha memastikan kegiatan penagihan dadah dapat dibendung sepenuhnya.
“Selain itu, tangkapan ini juga dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket yang terbabit untuk tindakan terhadap kegiatan pengedaran dadah yang wujud di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(A) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun hingga seumur hidup serta minimum 10 sebatan.
Katanya, semua suspek turut disiasat mengikut Peraturan 3(2) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Jangkitan) (No.3) 2020.
“Usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.
“Sehubungan itu, polis mengalu-alukan bantuan bantuan orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini dengan lebih berkesan,” katanya. – BorneoToday
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci