Monday, 23 March 2020

Tangkap penjenayah, bukan berkasar

POLIS menafikan dakwaan kononnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak agresif sewaktu menjalankan sekatan jalan raya seperti ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, sebaliknya beberapa gambar yang memaparkan anggota tentera seolah-olah menggunakan kekerasan ketika menahan seorang individu disebabkan suspek terbabit dalam kegiatan jenayah dan cuba meloloskan diri.

Beliau berkata, dalam kejadian 1.45 tengah hari tadi itu, suspek berusia 21 tahun dipercayai cuba melarikan diri selepas melakukan kegiatan pecah tabung masjid dan tokong di sekitar daerah ini.

“Ketika kejadian, beberapa anggota polis dan tentera sedang melakukan sekatan jalan raya bagi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Gapam, Bemban dan cuba menahan suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

“Lelaki itu cuba melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya dan meronta-ronta untuk melepaskan diri sebelum berlaku pergelutan sehingga berjaya ditangkap semula.

“Siasatan mendapati suspek pada sebelah pagi melakukan curi tabung masjid dan pecah tokong selain pemeriksaan terhadap beg sandang dibawanya juga menemui peralatan untuk menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Mispani berkata, suspek yang juga seorang penganggur turut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan kes curi.

“Permohonan reman suspek akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci