Monday, 23 March 2020

Empat kes kematian koronavirus baharu (Covid-19)



PUSAT Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan empat kes kematian koronavirus baharu (Covid-19) dalam negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pelaporan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 14 kes sehingga kini.

Menurutnya, kes kematian ke-11 membabitkan lelaki tempatan berumur 70 tahun.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Beliau disahkan meninggal dunia semalam.

“Kes kematian ke-12 membabitkan lelaki tempatan berusia 70 tahun. Dia adalah jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang. Dia disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kematian ke-13 membabitkan lelaki berumur 49 tahun yang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Dua adalah anak kepada kes ke-1031. Dia disahkan meninggal dunia hari ini. Kes kematian ke-14 ialah wanita berumur 51 tahun yang juga kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri.

“Dia disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci