Tuesday, 31 March 2020

Golongan 56 hingga 60 tahun paling tinggi dijangkiti

Golongan berumur 56 hingga 60 merupakan paling ramai dijangkiti koronavirus (Covid-19) di negara ini dengan 182 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara faktor golongan tersebut dijangkiti virus adalah disebabkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Mungkin mereka adalah ketua rumah yang sering keluar (untuk urusan keluarga)," katanya.

Menurutnya, golongan yang berusia 26 hingga 30 tahun merupakan yang kedua tertinggi dijangkiti virus berkenaan.

"Sebanyak 180 kes positif dikesan melibatkan golongan ini," katanya.

Beliau berkata, golongan muda itu dijangkiti Covid-19 kemungkinan sering keluar dari rumah walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Masih ada yang keluar walaupun PKP dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai sembilan bayi di bawah umur 12 bulan dan 50 kanak-kanak berusia antara 13 bulan hingga 10 tahun dijangkiti wabak berkenaan.

"Bagaimanapun keadaan mereka stabil dan setakat ini tiada yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) mahupun memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Mengulas mengenai kepatuhan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah, beliau berkata, sebanyak 75 hingga 80 peratus yang patuh.

"Kita dapati ada antara mereka yang masih melanggar perintah tersebut," katanya.

Justeru katanya, kerajaan akan menempatkan mereka di pusat kuarantin.

"Jika sebelum ini mereka yang tiba dari luar negara dan negatif ujian saringan Covid-19 diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah, namun sekarang kita tempatkan mereka di pusat kuarantin sehingga 14 hari," katanya.

Menurutnya, terdapat individu yang berada di bawah pengawasan tersebut tidak menyedari dijangkiti Covid-19.

"Namun mereka telah melanggar perintah tersebut dengan berhubung secara rapat dengan individu lain mahupun keluar dari rumah," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 334 pusat kuarantin disediakan bagi tujuan itu di seluruh negara.

"Ini bagi membendung penularan jangkitan Covid-19," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci