BAU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Perdana Menteri yang baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memerlukan masa untuk memastikan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan lebih baik pada masa akan datang.
"Beri beliau masa. Beliau baharu angkat sumpah (sebagai Perdana Menteri) hari ini.
"Sudahlah kita tidak akan menyerahkan hak-hak Sarawak ...Beri beliau masa, beliau baharu sahaja angkat sumpah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Kastam, Imigresen Dan Kuarantin (CIQ) yang baharu di Serikin, dekat sini hari.
Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada Sarawak menjangkakan hubungan antara kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan lebih baik di bawah pentadbiran Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Perdana Menteri Malaysia baharu.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata masih terlalu awal untuk mengatakan Muhyiddin akan memberikan 'suatu yang lebih baik' terhadap tuntutan hak-hak Sarawak termasuk di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mengenai sokongan GPS terhadap Muhyiddin, Abang Johari berkata ia dibuat atas dasar kepentingan Sarawak.
"Pada mulanya kita (GPS) memberi sokongan kepada Dr Mahathir tetapi kemudian beliau letak jawatan (sebagai perdana Menteri), selepas itu keluar (dari BERSATU), menyertai semula parti itu.
"Kiri kanan, kiri kanan, apa yang kita boleh harapkan? Oleh sebab itulah GPS menyokong Muhyiddin pada masa sama, kepentingan Sarawak itu paling penting," ujarnya.
Sehubungan itu ujarnya, Muhyiddin harus mengakui kepentingan GPS, kerana sokongannya menjadikan beliau perdana menteri yang kelapan.
"Kita telah memberi sokongan kepada beliau...Sekarang beliau tahu berapa bernilainya GPS ," ujarnya.
Selepas seminggu negara menghadapi kemelut kepimpinan politik, Malaysia hari ini menyaksikan Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pelantikan Muhyiddin, 72, sebagai Perdana Menteri kelapan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air, menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.
-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci