APABILA Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan diikuti 10 pemimpin PKR kerajaan sedia ada telah runtuh.
Berikutan itu juga Dr. Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada sebelah tengah hari.
Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara bagi memboleh beliau melantik perdana menteri baharu dan membentuk kabinet baharu.
Situasi semasa ini membimbangkan rakyat dan berharap ia dapat diselesaikan dengan segera.
Bagi Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia.
Beliau juga meminta rakyat supaya bertenang dan sabar.
“Doakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia di saat negara tanpa kerajaan…. Rakyat harus bertenang dan sabar. Pertahan kebijaksanaan kita rakyat Malaysia. Insya-Allah kita lakukan yg terbaik demi rakyat dan negara. ‘Rabbi yassir wala tuassir watammin bil khair…’” katanya dalam hantaran twitter miliknya.
Sebelum itu beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata ‘rumah roboh, tiada lagi pintu depan atau pintu belakang.
“Dengan Bersatu keluar dan Azmin dipecat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini ‘collapse’… tidak timbul lagi pintu depan atau belakang… terpulanglah kepada Ahli Parlimen dan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.”
Dilaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa ini sedang mempengerusikan mesyuarat parti berkenaan untuk langkah berikutan perkembangan semasa politik.
Sementara itu seorang lagi pemimpin UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berharap kerajaan baharu dibentuk dengan segera.
Beliau mahu kerajaan baharu kelak dapat meningkatkan ekonomi Malaysia.
Beliau melihat apa yang berlaku pada masa ini sebagai positif supaya kerajaan yang lebih cekap dapat dibentuk.
“Ini satu perkara yang baik untuk kita melibatkan diri (dalam pergerakan politik) untuk memastikan rakyat akan mendapat kerajaan yang lebih baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci