Wednesday, 18 September 2019

Adinda Sultan Kelantan buat laporan polis difitnah


KOTA BHARU: Adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Puteri membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang didakwa memfitnah beliau di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Laporan dibuat menerusi sepupunya, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu jam 11.30 pagi hari ini,

Laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook bernama Shaiful Afzan yang memberi komen di Facebook mendakwa Tengku Amalin hanya anak angkat kepada Sultan Ismail Petra.


Peguam Majdah Muhamad yang mewakili Tengku Amalin berkata, Tengku Ramizan terbaca komen di Facebook Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) Version 2 yang diberikan rakannya melalui aplikasi WhatsApp.

Menerusi Facebook berkenaan, katanya, seorang individu menggunakan nama Mekliss Nor Liss didakwa bertanya sama ada Tengku Amalin adalah anak angkat.

“Seorang pengguna Facebook menerusi akaun bernama Shaiful Afzan dilapor memberi komen mendakwa Tengku Amalin adalah anak angkat.

“Komen berkenaan kemudian tersebar di Facebook IRDK yang memiliki ramai pengikut dan ini adalah fitnah terbesar kepada Tengku Amalin.

“Sehubungan itu, Tengku Ramizan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di IPD Kota Bharu di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci