Saturday, 31 August 2019

Kerajaan Patut Faham Kehendak Rakyat

GOMBAK: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu peka terhadap masalah dan kemahuan rakyat jika mahu terus kekal sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, adalah tidak mustahil sokongan rakyat akan beralih terhadap pembangkang disebabkan kegagalan kerajaan untuk memahami kehendak mereka terutama jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.





“Kita perlu mendengar rakyat, buat apa yang mereka mahukan. Kalau melihatkan sentimen sekarang, jika ada pilihan raya esok pakatan UMNO dan PAS akan menang dengan mudah,” katanya pada forum bertajuk “Adakah Pilihan Raya Kecil (PRK) Meramalkan Keputusan PRU15” anjuran Unit Kajian Elektoral, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), di sini, semalam.

Forum yang dipengerusikan Pensyarah Sains Politik UIAM, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar turut membariskan dua lagi panel iaitu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Danesh Prakash Chacko dari Tindak Malaysia.

Dr Rais berkata, melihatkan kekalahan PH dalam tiga PRK lalu di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau tidak mustahil untuk pakatan pembangkang akan menang dalam pilihan raya umum akan datang jika tiada perubahan yang dilakukan kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Benar, pilihan raya kecil boleh menjadi penentu jika PH tidak melakukan sebarang perbezaan daripada apa yang mereka lakukan sekarang. Bagaimanapun, kerajaan masih mempunyai tiga tahun lebih untuk mengatasi isu yang menjadi kebimbangan rakyat dan cuba membetulkan keadaan mereka,” katanya.

Katanya, langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun belum menjamin sokongan berpihak kepada PH memandangkan pengundi muda disifatkan bukan setia kepada parti.

Beliau berkata, apa yang menjadi keutamaan pengundi muda terbabit adalah bagi mendapatkan jaminan pekerjaan untuk jangka panjang dan bukan peluang menambahkan pendapatan yang bersifat sementara.

Sementara itu, Khairy Jamaludin berkata, pakatan UMNO dan PAS membuktikan bahawa politik identiti menjadi formula penting untuk kedua-dua parti itu menang dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU14.

Bagaimanapun kemenangan yang diraih pakatan itu dalam tiga PRK selepas PRU14 lalu belum dapat menjadi petunjuk terbaik bagi keputusan PRU15 akan datang.

Katanya, ini terbukti dengan prestasi yang ditunjukkan Barisan Nasional dalam PRU12 pada tahun 2008 walaupun PRK Ijok yang diadakan setahun sebelumnya memberikan kemenangan besar kepada pihak kerajaan ketika itu.

“Bagaimanapun, dalam PRU12 setahun selepas itu, kami kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Malah PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016 yang dimenangi BN juga membuktikan kemenangan itu tidak membawa makna berikutan kita kalah dalam PRU 2018.

“PRK lebih bersifat lokal berbanding pilihan raya umum kerana kita bukan hanya perlu memilih ahli parlimen baru tetapi sebenarnya kemungkinan untuk menukar kerajaan,” katanya.

Beliau meramalkan bahawa PRU akan datang di negara ini dilihat masih lagi menumpukan kepada politik berasaskan kaum tidak kira sama ada perkara itu dapat diterima oleh rakyat Malaysia atau sebaliknya.

“Hakikatnya itulah pandangan politik rakyat Malaysia secara umumnya ditambah dengan ‘perkahwinan’ UMNO dan PAS yang membuktikan formula kemenangan mereka dalam beberapa PRK lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci