KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu yang kerja pengubahsuaian bilik stor dan kabinet dapur di kediaman bekas Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta pada 2014 lebih RM200,000.
Saksi keenam pendakwaan, seorang pereka hiasan dalaman di ABS Trend Master Sdn Bhd, Zulkarnain Mohamad, 46, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada pengurus kediaman Najib yang dikenali sebagai Amirul Hadi yang ingin memintanya melakukan kerja pengubahsaian stor dan kabinet dapur.
Zulkarnain berkata, beliau kemudian ke kediaman rasmi itu, untuk melihat kawasan luar rumah di bahagian belakang dan membuat ukuran.
“Saya kemudian membuat sebut harga untuk diberikan kepada Amirul yang berjumlah lebih RM200,000.
“Saya tidak ingat sama ada RM243,000 atau RM234,000. Selepas mendapat persetujuan, saya menerima cek berjumlah RM50,000 sebagai deposit,” katanya.
Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, saksi itu memberitahu selepas selesai melakukan kerja pembinaan dan pengubahsuaian itu, beliau diberi cek bernilai RM100,000.
Ketika disoal peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengenai apakah kerja pembinaan yang dimaksudkan dibuat di kediaman Najib, Zulkarnain berkata ia termasuklah pembinaan bilik stor, yang mempunyai almari pakaian dan dapur kering.
Selain itu, Zulkarnain turut membaik pulih pondok kawalan polis dan tong sampah yang tercabut.
Shafee : Adakah kamu tahu bilik stor dibuat untuk menyimpan pakaian yang akan digunakan untuk tugas rasmi Perdana Menteri?
Zulkarnain : Tidak tahu
Shafee : Adakah kamu tahu kabinet pakaian di tingkat atas rumah tidak mencukupi untuk menyimpan pakaian?
Zulkarnain : Saya tidak pasti
Shafee : Pernah naik (tingkat) atas untuk lihat sama ada kabinet baju Perdana Menteri mencukupi atau tidak?
Zulkarnain : Tidak pernah
-BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci