Tuesday, 12 June 2018
Wanita Arab Saudi Tunjuk Minat Tunggang Motosikal
WANITA Arab Saudi mula banjiri Institut Kemahiran Motosikal yang dimiliki secara persendirian untuk belajar menunggang motosikal menjelang penarikan semula larangan memandu kepada golongan itu pada 24 Jun ini.
“Menunggang motosikal menjadi minat sejak saya masih kecil,” kata Noura, 31, yang enggan memberikan nama sebenar kerana bimbangkan reaksi umum.
Menarik balik larangan memandu kepada wanita, simbol penindasan sekian lama terhadap golongan itu, adalah pembaharuan paling menyerlah dilancarkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Namun ia dibayangi gelombang penangkapan penyokong hak wanita termasuk aktivis veteran yang sudah lama membantah larangan itu.
Tiada seorang wanita di litar pemanduan itu mahu bercakap mengenai penangkapan, isu amat sensitif, sebaliknya memberi tumpuan kepada mendapat kebebasan asas yang sekian lama dinafikan.
“Saya membesar melihat anggota keluarga menunggang motosikal.
“Kini saya berharap memperoleh kemahiran mencukupi untuk menunggang di jalan raya,” kata Noura ketika memanjat untuk menaiki Yahama Virago.
Bersebelahan beliau, berusaha menghidupkan enjin Suzuki, ialah Leen Tinawi, 19, berketurunan Jordan yang dilahirkan di Arab Saudi.
Bagi kedua-dua wanita, menunggang motosikal bukan hanya sekadar minat yang didorong adrenalin, tetapi satu bentuk pemerkasaan.
“Saya boleh menyimpulkan seluruh pengalaman menunggang motosikal dalam satu perkataan – kebebasan,” kata Tinawi. – AFP
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci