Sunday, 10 June 2018

PH Terpaksa Tangguh Janji Kepada Rakyat - Anwar





KUALA LUMPUR – Setelah berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengakui agak sukar untuk mereka menunaikan janji manifesto mereka secepat mungkin.

Oleh itu, kerajaan menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk memahami keadaan ekonomi negara yang ketika ini dibebani dengan hutang besar yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan baharu di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berusaha sedaya-upaya untuk mengembalikan negara ke landasan tepat.

“Jadi kita harus terima kenyataan seperti Tun Mahathir memberitahu beberapa projek (manifesto) yang kita janji terpaksa ditangguhkan,” katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.

Jelas Anwar, semua janji manifesto yang dibuat oleh PH sebelum ini adalah berdasarkan angka yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pentadbiran mereka.

Justeru, PH terpaksa menangguhkan beberapa perkara yang telah dijanjikan dalam manifesto setelah mengenal pasti angka sebenar hutang negara lebih buruk daripada yang diwartakan.

“Sekarang kita sudah menjadi kerajaan dan mendapati angka itu lebih buruk dari apa yang disebut.

“Sebab itulah unjuran kita kurang tepat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Anwar mengakui bersyukur bahawa PH telah dipilih oleh rakyat untuk menjadi kerajaan bagi menangani masalah hutang negara ini.

Tambahnya, kerajaan mampu menyelesaikan masalah hutang negara ini sekiranya rundingan yang baik berjaya dibuat dengan pihak-pihak terbabit mengenai kos projek yang tinggi.

“Kita lihat kos projek adalah tinggi, sekiranya rundingan berjaya dibuat dengan pihak-pihak, sudah tentu kita mampu menyelamatkan berbilion ringgit,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kerjasama yang dijalin dengan seteru lamanya, Mahathir yang bertanggungjawab memenjarakannya, Anwar berkata beliau seorang yang mudah memaafkan orang lain.

Jelas Anwar, ini merupakan masa untuk mereka dua meletakkan perkara tersebut di belakang dan bekerja bersama untuk membangunkan semula negara.

Anwar berkata, beliau tidak mengalam sebarang masalah mengenai perkara itu, melainkan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan anak- anaknya.

“Saya seorang yang mudah untuk memaafkan. Ini adalah masa untuk bekerja bersama- sama,”

“Mereka (keluarga Anwar) sangat beremosi apabila kami (Anwar dan Mahathir) banyak mengadakan rundingan secara serius, namun ianya sudah dijelaskan” katanya.

Dalam masa sama, Anwar ketika diminta mengulas sama ada beliau akan segera bertanding untuk menjadi ahli parlimen secepat mungkin, beliau berkata perkara itu tidak akan berlaku.

“Jangan risau, tiada apa-apa perkara yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini,” ulasnya. –MYNEWSHUB.CC/EZ

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci