Berakhirnya legasi kuasa Umno Barisan Nasional yang berakar lebih 60 tahun. Tidak pernah terdetik di hati kita senario ini bakal menjadi realiti.
Namun Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuktikan bahawa dia mampu untuk menggulingkan siapa yang dia kehendaki.
Cuma, kali ini dengan Datuk Sri Najib Tun Razak, dia menghadapi rintangan dan kesulitan yang amat dahsyat sehingga terpaksa memakan masa selama kira-kira 4 tahun.
Maruah Tun Mahathir sebenarnya sudah lama tercalar apabila tidak berjaya menumbangkan Najib Tun Razak. Hanya diakhir 'lap' sahaja dia berjaya.
Dan kali ini di dalam PRU14, Najib Tun Razak tumbang bukan kerana kekuatan Pakatan Harapan atau kebenaran. Sebaliknya ia tumbang kerana budaya fitnah dan cerita yang dimanipulasikan.
Rakyat tertipu tanpa mereka sedari. Penggunaan media sosial khususnya Facebook dan YouTube telah berjaya menjadi senjata utama Pakatan Harapan untuk menghasut pengundi. Menghasut untuk membenci, bukan membina negara bangsa.
Keseronokan yang sedang diraikan oleh penyokong Pakatan Harapan dan pembenci Barisan Nasional sekarang terhasil dari kepercayaan mereka terhadap cerita fitnah dan hasutan halus.
Percayalah! Pakatan Harapan sendiri terkejut dengan kemenangan mereka ini. Tidak pernah mereka menjangka untuk menang sebegini besar.
Namun yang memberi kemenangan kepada mereka adalah pengundi senyap yang siang malam dihasut oleh berita-berita manipulasi dan fitnah di media sosial.
Hakikatnya, yang kalah itu tidak semestinya bersalah atau jahat. Juga harus diakui bahawa yang menang itu tidak sebenarnya suci, bersih dan terbaik.
Kuasa dan kerajaan yang terbentuk di Malaysia sekarang pada hakikatnya lahir dari garaban berita palsu, fitnah dan manipulasi fakta? Demi Allah, mampukah untuk kita membuat penafian akan perkara ini terutama kepada para penyokong kerajaan?
Yang pasti, kuasa yang tertubuh atas kekuatan batu bata fitnah dan hasutan tidak akan bertahan lama. Mereka mungkin menang pada 9 Mei 2018, namun mereka belum tentu mampu berjaya untuk tarikh berikutnya.
Buat Umno dan Barisan Nasional, masa 'bertenang dan berehat' yang Allah berikan ini patut digunakan sebagai ruang muhasabah diri. Sedarlah bahawa kuasa sudah ditangan pihak lain.
Tidak berguna lagi untuk menuding jari atau mencuri pengaruh untuk memanjat jawatan dalam parti.
Inikalilah dengan pemimpin yang sama yang menyebabkan kekalahan Umno Barisan Nasional, parti dan jentera berkenaan harus bangkit menyerang kembali.
Biarkan pemimpin yang menyebabkan kekalahan Umno dan Barisan Nasional ini memacu jentera sekali lagi untuk kemenangan bagi menebus segaja dosanya. Selepas itu, barulah percaturan baharu wajar dilakukan.
Jika pemikiran 'lama Umno Barisan Nasional' iaitu turunkan pemimpin yang sudah menyebabkan kekalahan ini terus diamalkan, maka Umno Barisan Nasional tidak akan dibawa kemana-mana. Tetap sama, maka 'resultnya' juga akan sama.
Biarkan Najib Tun Razak memimpin lagi. Biarkan beliau buktikan kepada bondanya dan arwah bapanya serta seluruh jentera parti bahawa beliau mampu kembalikan kuasa ke tangan parti ini.
Umno dan Barisan Nasional pasti akan dirindui oleh rakyat. Tak perlu tunggu lama, masanya sekejap sahaja lagi. Kerana fakta yang tidak siapa mampu nafikan adalah Umno Barisan Nasional terlalu banyak membuat jasa kepada kita semua. - KAKI PALU
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci