728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, 8 May 2018

    Najib Digelar Bapa Transformasi & Digital Pelancongan Langkawi





    LANGKAWI – Pembangunan dan tranformasi yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak ke Langkawi sepanjang sembilan tahun menjadi Perdana Menteri, melayakkan beliau digelar sebagai Bapa Tranformasi dan Digital Pelancongan pulau peranginan tersebut kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir.

    Beliau berkata, usaha Perdana Menteri itu menyaksikan jumlah pelancong meningkat saban tahun dan pada tahun ini jumlah tersebut dijangka melonjak sehingga empat juta pelancong dengan pendapatan mencecah lebih RM5.1 billion.

    Menurutnya, Najib melakukan pembaharuan daripada segi tranformasi dalam pelancongan selain merangka pelbagai agenda untuk masa depan Langkawi agar menjadi sebuah lokasi pelancongan terkemuka di dunia.

    “Gelaran dan anugerah ini khas daripada Persatuan Pelancongan Langkawi kepada Najib yang dipersetujui sebulat suara oleh seluruh ahli jawatankuasa dan pemain industri pelancongan secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

    Dalam pada itu, semalam Perdana Menteri dalam majlis Santai Industri Pelancongan bersama beliau di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini mengumumkan 18 inisiatif untuk dilaksanakan di pulau peranginan tersebut secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Najib dilaporkan berkata, kesemua inisiatif tersebut adalah bertujuan menjadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan yang tersohor dalam peta pelancongan dunia menjelang 2030.

    Antara inisiatif tersebut adalah melaksanakan Pusat Transformasi Bandar (UTC); memperkasakan pelancongan kesihatan, pembinaan sebuah litar Motorcross, pembesaran lapangan terbang; menaik taraf akademi pelancongan dan pakej istimewa perkhidmatan internet berkelajuan tinggi WiFi@unifi Telekom Malaysia (TM).

    Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengumumkan lima projek pembangunan infrastruktur bernilai RM1.3 bilion di pulau bebas cukai berkenaan yang antaranya melibatkan pembesaran Hospital Langkawi; pembinaan kuarters dan integrasi daerah yang baharu; pembinaan balai bomba dan penyelamat serta kuarters Padang Matsirat.

    Dalam pada itu, Zainudin berkata, beliau tidak menafikan jasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perintis perubahan di Langkawi kerana pada masa itu, Dr. Mahathir adalah sebagai pemerintah.

    “Kalau dia (Dr. Mahathir) secara individu, dia tidak akan mampu membuat perubahan di sini. Tetapi zaman sudah berubah, biarlah Najib terus membawa Langkawi ke satu tahap yang lebih tinggi lagi,” katanya.


    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Najib Digelar Bapa Transformasi & Digital Pelancongan Langkawi Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top