Sunday, 29 April 2018

PPBM Bertanding Sesama Sendiri Di Kerusi DUN Kuah





ALOR SETAR - Mohamad Ratu yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa PPBM Bahagian telah mengambil keputusan bertanding di atas tiket bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, kerana tidak berpuas hati dengan calon yang di ketengahkan PPBM.

Beliau telah membuat kejutan itu apabila tampil menghantar borang pencalonan semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi di sini semalam.

Keputusan itu bakal menyaksikan Mohamad Ratu bakal menentang bekas Ketua Pemuda PPBM Bahagian Langkawi, Mohd. Firdaus Ahmad yang menggunakan tiket PKR dan calon BN, Nor Saidi Nanyan serta Mazlan Ahmad dari Pas.

Mohamad Ratu berkata, beliau memilih untuk bertanding atas tiket Bebas di DUN Kuah kerana membantah pencalonan Mohd. Firdaus apabila dia tidak dipilih kerana dikatakan tidak mengikut prosedur yang betul melalui mesyuarat Pakatan Harapan.

Sebaliknya tegas beliau, nama Mohd. Firdaus tiba-tiba sahaja diumumkan sebagai calon sedangkan individu yang bertungkus lumus membuat kerja selama ini langsung tidak mendapat tempat.

Memetik Utusan Online, katanya, individu yang diangkat oleh parti itu juga langsung tidak dikenali di DUN Kuah selain ditolak oleh akar umbi di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, lebih 5,000 penduduk telah menandatangani petisyen bagi menolak Mohd. Firdaus yang kemudiannya dihantar kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun tidak ada sebarang tindakan diambil.

Tambah Mohamad Ratu, beliau yakin jumlah bantahan petisyen itu boleh melonjak sehingga 10, 000 dan baginya sangat rugi jika letak calon yang terang-terang di tolak.

Katanya lagi, dia bertanding atas tiket Bebas adalah kerana ingin berjuang dan membawa perubahan di Kuah selain mencapai kemenangan di kawasan tersebut dalam PRU-14.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci