Tuesday, 24 April 2018

Media Sosial Jadi Medium Penyampai Maklumat Utama PRU14





MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) Wong Nai Chee akan menggunakan media sosial secara meluas sebagai medium penyampaian maklumat secara terus dan tepat kepada pengundi khususnya pengundi baharu sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Wong, 49, yang bertanding atas tiket MCA bagi Parlimen Alor Gajah berkata ini kerana berdasarkan maklumat awal, terdapat kira-kira 10,000 pengundi baharu yang didaftarkan di bawah parlimen itu, termasuk pengundi luar pada PRU14

“Jumlah pengundi baharu yang agak besar ini merupakan antara cabaran yang perlu kita tangani secara berkesan akan segala maklumat khususnya tentang Manifesto BN negeri dan pusat dapat disampaikan secara jelas kepada golongan sasaran.

“Selain itu, perjumpaan dengan pengundi baharu juga akan dilakukan secara kerap sepanjang tempoh yang ada ini dengan kerjasama jentera BN,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon BN negeri Melaka oleh Pengerusi BN negeri Datuk Seri Idris Haron di sini, semalam.

Wong sebelum ini pernah bertanding di Parlimen Kota Melaka pada 2004 dan 2008 namun hanya menang pada tahun 2004 sebelum berehat seketika pada PRU13 dan tampil semula pada PRU14 untuk bertanding di Parlimen Alor Gajah menggantikan penyandangnya Datuk Koh Nai Kwong.

Koh pada PRU14 ini dicalon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Machap Jaya menggantikan Datuk Lai Meng Chong yang berundur bagi memberi laluan kepada calon lain.

Mengulas tentang persaingan yang bakal dihadapinya di parlimen berkenaan, Wong yang merupakan Anggota Majlis Tertinggi MCA dan Ahli Majlis Presiden MCA itu berkata ia dilihat agak sengit memandangkan persaingan itu dijangka melibatkan empat penjuru.

“Bagaimanapun saya yakin dan percaya dengan sokongan jentera parti komponen BN, segala cabaran atau rintangan akan dapat dihadapi dengan baik sekaligus mempertahankan kerusi berkenaan dan membantu kemenangan BN,” katanya yang sebelum ini merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Anak kelahiran Batang Tiga yang aktif dalam politik bersama MCA sejak 1998 itu berkata penampilan semula beliau pada PRU14 merupakan satu kepercayaan dan amanah daripada pucuk pimpinan BN dan ia akan digalas sebaik mungkin.

Sementara itu, calon muda yang ditampilkan MCA untuk bertanding di kawasan Parlimen Kota Melaka Choo Wei Sern, 31, yakin BN dapat menawan semula parlimen berkenaan walaupun ia merupakan kawasan hitam bagi BN ekoran kemenangan pembangkang dua penggal berturut-turut.

“Keadaan politik di Melaka pada hari ini secara keseluruhannya terutama Kota Melaka berbeza berbanding pilihan raya umum sebelum ini…banyak perpecahan yang mana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

“DAP pula berpecah dengan empat bekas wakil rakyat parti itu keluar parti dan bertanding calon bebas,” kata peguam berkenaan yang juga merupakan bekas Presiden Kelab MCA Luar Negara di United Kingdom dari 2006 hingga 2008.

Beliau berkata situasi tersebut merupakan satu kelebihan kepada BN namun ia tidak boleh dipandang remeh dan kerja kuat perlu dilakukan jentera parti komponen untuk menawan kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka pada PRU13 ialah Sim Tong Him yang keluar parti DAP pada tahun lepas dan akan bertanding atas tiket bebas pada PRU14 di DUN Kota Laksamana. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci