Monday, 19 March 2018
Siti Nurhaliza Selamat Melahirkan Anak Perempuan 3.55 Kilogram
Penyanyi ternama tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah hospital swasta di ibu negara sebentar tadi.
Penghibur kesayangan ramai yang berusia 39 tahun itu melahirkan cahaya mata sulung menerusi pembedahan pada pukul 8.17 pagi.
Siti Nurhaliza dan bayi yang dilahirkan dengan berat 3.55 kilogram itu dilaporkan sihat.
Kelahiran bayi perempuan itu menamatkan penantian Nurhaliza dan suaminya yang juga seorang usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selepas 11 tahun bernikah.
Pada 13 Oktober tahun lalu, penyanyi lagu Jerat Percintaan dan Cindai itu mengumumkan yang beliau hamil sekali gus disambut dengan penuh kesyukuran oleh peminat-peminatnya.
Pada hujung 2015 Siti Nurhaliza pernah mengalami keguguran ketika usia kandungan dua bulan.
Kehamilan beliau kali ini berjaya selepas melakukan rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan swasta seperti dilaporkan oleh Utusan.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci