Sunday, 7 January 2018

Ku Sangka Kaca, Rupa-Rupanya Memang Permata!





WASHINGTON DC – Wanita ini memang bertuah, mana tidaknya siapa sangka dia berjaya menemui serpihan berlian berwarna perang ketika lawatannya ke sebuah taman berlian baru-baru ini.

Permata coklat seberat 2.65 karat itu ditemui 10 minit selepas Victoria Brodski berjalan-jalan santai berhampiran pintu masuk sebuah taman awam negeri iaitu Crater of Diamonds State Park di Arkansas, Amerika Syarikat.

Dia yang berusia 25 tahun dan berasal dari Tulsa, bagaimanapun hanya menyedari bahawa serpihan itu memang adalah sebutir berlian selepas diteliti beberapa jam kemudian, menurut laporan media setempat kelmarin.

Pada awalnya menyangka serpihan ditemui itu hanyalah kaca biasa sebelum kemudian meneliti keadaan butiran kristal tersebut dan mendapati ia aneh kerana tidak dipotong seperti yang kelaziman bentuk kaca pernah dilihat.

“Saya sedang melihat gambar-gambar berlian yang memang dipamerkan di sekitar taman tersebut dan melihat ada banyak persamaannya dengan apa yang saya dapati,” kata Brodski kepada stesen tempatan THV11.

Dengan perasaan tidak percaya, dia menunjukkan berlian berkenaan kepada kakitangan yang berada di taman berlian itu dan mereka kemudian mengesahkan bahawa serpihan yang disangka kaca tersebut adalah berlian.

Permata berwarna perang adalah salah satu daripada tiga penemuan yang ditemui oleh pelawat secara tidak sengaja di taman itu sepanjang tahun lalu. Ia juga merupakan penemuan kedua terbesar setakat ini pada tahun 2017.



Berlian lain pernah ditemui oleh pelawat ialah pada Mac lalu oleh Kalel Langford yang berusia 14 tahun. Dengan berat 7.44 karat, batu permata tersebut muncul sebagai berlian terbesar yang ditemui pada tahun tersebut.

Namun berlian seberat 8.52 karat yang dijumpai oleh Bobbie Oskarson di taman yang sama pada 2015 telah berjaya dipotong dan dikatakan bernilai AS$500,000 (kira-kira RM1.9 juta) pada Februari tahun lalu.

Brodski dalam pada itu mengakui bahawa penemuan yang pernah dibuat oleh Langford telah memberikannya idea untuk cuba membuat perjalanannya sendiri bersama-sama ahli keluarganya ke taman seluas 369 hektar tersebut.

Dia telah menamakan permata itu dengan nama Michelangelo, seperti watak penyu Ninja Teenage Mutant dan telah merancang untuk menjual berlian tersebut untuk diagihkan keuntungan jualan sesama ahli keluarganya lain.

“Berlian yang ditemui oleh Brodoski adalah salah satu berlian coklat yang sangat cantik yang pernah saya lihat di taman itu,” kata Waymon Cox, seorang penterjemah di taman berlian itu kepada portal Inside Fort Smith.

Ia hanya kira-kira bersaiz manik dengan warna coklat gelap seperti madu mentah. Batu permata tersebut malah mempunyai permukaan licin, bulat dan kelihatan bebas daripada kecacatan, sama ada di dalam dan luar.

Menurut laman sesawang rasmi Crater of Diamonds State Park, terdapat lebih daripada 75,000 butir berlian yang pelbagai bentuk telah ditemui orang awam di taman itu sejak tahun 1906. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci