Pas menyifatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan sebagai kuda tunggangan DAP yang hanya diperalatkan untuk meraih sokongan orang Melayu.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP hanya memerlukan sokongan Melayu untuk merealisasikan hasrat mereka membentuk kerajaan selepas menguasai undi kaum Cina.
Katanya, Pas juga pernah melalui situasi sama apabila cuba digunakan oleh DAP namun usaha itu tidak berjaya dan menyebabkan hubungan kedua-dua parti terputus.
“DAP guna parti-parti yang ada dalam Pakatan Harapan sebab hendak tarik sokongan Melayu. Sebelum ini mereka guna PAN, namun tidak berjaya sebab sokongan terhadap parti itu kecil.
“Sekarang DAP cuba guna Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula, tetapi kita sedia maklum PPBM kekuatannya juga tidak sekuat mana. Pada pandangan kita, mengundi Pakatan Harapan adalah seperti memberi undi kepada DAP. Yang akan untung adalah percaturan politik DAP,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, berdasarkan pengalaman dahulu, DAP dilihat sebagai sebuah parti yang sekular.
Justeru katanya, umat Islam perlu menolak dan tidak sepatutnya memberi undi kepada DAP dalam pilihan raya umum akan datang.
“DAP bergerak atas pelbagai isu seperti rasuah, menuntut kerajaan bersifat adil dan sebagainya namun mereka ini dilihat seperti mempunyai agenda tersembunyi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Amar berkata, PKR kini dilihat berpecah kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong kerjasama dengan Pas dan sebaliknya.
Walau bagaimanapun katanya, Pas tetap dengan pendirian tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan parti itu.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci