Wednesday, 20 December 2017
Apa Relevennya Mahathir Kembali Jadi PM?
Beberapa hari lepas, pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau sedia dinamakan sebagai perdana menteri jika gabungan parti itu tidak dapat mengemukakan nama lain untuk dicalonkan ke jawatan tersebut.
“Saya tak tahu. Jika orang (pemimpin PH) benar-benar terdesak dan mereka tak jumpa calon lain, mungkin orang tua berusia 93 tahun ini boleh jadi Perdana Menteri sementara,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media pada 12 Disember lalu.
Namun apa relevannya untuk rakyat memberikan semula kepercayaan kepada Mahathir untuk memerintah negara semula selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Ada baiknya beliau tidak melepaskan jawatan berkenaan dulu jika mahu kembali menjadi Perdana Menteri? Apabila Mahathir yang sudah berusia lebih 90 tahun menawarkan dirinya untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri maka ia menunjukkan Pakatan Harapan ketandusan pemimpin untuk diletakkan ke jawatan berkenaan.
Sehingga kini, masih belum ada apa-apa pengumuman mengenai calon Perdana Menteri PH sedangkan desakan demi desakan telah dibuat oleh pesaing politiknya untuk mengetahui siapa calonnya.
Lebih penting adakah semua pemimpin PH bersetuju Mahathir menjadi Perdana Menteri? Mereka sendiri gagal mencapai kata sepakat mengenainya dan tidak dinafikan ia bakal memecahbelahkan pembangkang.
Jika dulu nama Anwar Ibrahim disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri tetapi kini selepas Anwar berada di penjara atas kesalahan liwat, siapa pula yang akan dicalonkan?
Bak kata Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, tiada sebab untuk rakyat Malaysia meletakkan harapan memulihkan negara kepada Mahathir kerana pada zaman pentadbiran bekas perdana itu negara berhadapan pelbagai peristiwa dan pergolakan, seperti peristiwa Memali 1985, krisis dengan Raja-Raja Melayu pada 1993 sehinggalah kepada pemecatan Anwar Ibrahim yang mencetuskan gerakan Reformasi pada 1998.
“Saya tak nampak apa relevannya untuk memberikan semula kepercayaan kepada Mahathir. Malah hari ini kita cuba membersihkan pelbagai ‘penyakit’ yang berpunca dari zamannya menjadi perdana menteri,” katanya.
Ahmad Fadhli yang juga ketua Pemuda PAS Kelantan berkata, Mahathir adalah seorang yang tidak kisah membuat pendirian yang berubah-berubah demi politik.
Mahathir, katanya akan sekali lagi “menghancurkan negara” jika diberi peluang kembali ke tampuk perdana menteri.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci