Thursday, 23 November 2017

Tiga Cawan Kopi, Kurang Risiko Mati Muda, Sakit Jantung



Mengambil tiga atau empat cawan kopi meningkat tahap kesihatan seseorang dan mengurang risiko mati awal dan penyakit jantung.

Kajian itu, semakan bukti daripada lebih 200 penyelidikan awal, mendapati kopi mengurangkan risiko kencing manis, penyakit hati, nyanyuk dan barah.

Jumlah tiga atau empat cawan minuman itu membawa manfaat paling banyak, kata ahli sains, kecuali pada wanita hamil atau berisiko mengalami retak.

Robin Poole, pakar kesihatan awam di Universiti Southampton, Britain, mengetuai kumpulan yang menjalankan "semakan payung," lapor Reuters.

Mencari intipati daripada analisis terkumpul, "semakan payung" itu meneliti 201 kajian berasaskan pengamatan dan 17 ujian klinik di semua negara.

"Meminum kopi selamat jika diambil cara biasa," kata pasukan Poole dalam kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal Britain BMJ semalam.

Berbanding mereka yang tidak mengambil kafein, peminum kopi tiga cawan sehari dapat mengurangkan semua risiko mati awal dan penyakit jantung.

Minum lebih tiga cawan sehari tidak dikaitkan dengan mudarat, menurut pasukan itu lagi, tetapi kesan manfaatnya tidak begitu ketara.

Minum kopi juga dapat mengurangkan risiko serangan beberapa jenis barah, termasuk prostat, pangkal rahim, kulit dan hati.

Penyelidik juga berkata ia dapat mengurangkan risiko diabetes jenis 2, batu karang dan gout. Manfaat paling besar, ia mengurangkan sirosis pada hati.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci