Sunday, 26 November 2017
Perlu Sediakan Negara Untuk Generasi Akan Datang
Pemimpin masa kini perlu menyediakan negara untuk masa depan yang lebih baik buat generasi akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata generasi akan datang merupakan pewaris kepada kepimpinan negara, justeru pemimpin masa kini tidak seharusnya memikirkan untuk diri mereka semata-mata.
Katanya kerana itu beliau antara lain melaksanakan inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) di bawah kepimpinannya yang fokus untuk menyediakan negara buat generasi muda.
“Kerajaan BN (Barisan Nasional) tidak janji kosong, terus laksana (pelbagai inisiatif) untuk orang muda kita, kita mesti sediakan hari ini untuk hari muka, untuk anak-anak, cucu-cucu kita. Pembangkang kata macam-macam pada kita tidak mengapa, kita buat yang terbaik,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan program Gen Y, Green The City Melaka 2017 di Dataran 1Malaysia di Klebang di sini, hari ini. Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.
Dalam majlis sama Najib turut menanam kapsul masa yang akan dibuka oleh pemimpin negara pada masa akan datang iaitu pada 1 Jan 2050.
Perdana menteri berkata selain fokus kepada TN50, kerajaan BN di bawah pimpinannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk generasi muda, malah dalam Bajet 2018 dibentangnya baru-baru ini turut memberikan insentif kepada generasi yang bakal lahir.
Inisiatif itu ialah Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir bermula 1 Jan 2018 sehingga 2022 melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).
“Kita beri BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), bagi kad pelajar (bernilai RM250) untuk pelajar universiti beli buku dan pelbagai lagi. Kita buat ini untuk (generasi) semasa dan akan datang.
“Kita buat projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) (Kuala Lumpur-Singapura) untuk siapa lagi kalau bukan untuk generasi akan datang. Tahun 2022 nanti lebih kurang (HSR akan beroperasi)”.
Najib berkata HSR akan memberikan impak yang besar dalam kehidupan generasi akan datang terutama di kawasan stesen-stesen sepanjang laluannya, antaranya di Melaka yang bakal memendekkan jarak masa perjalanan selain meningkatkan tahap ekonomi penduduk kawasan itu.
Najib berkata dalam usaha pemimpin dan kerajaan BN masa kini menyediakan negara, pemimpin terdahulu perlu memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan usaha itu membuahkan hasil yang terbaik.
“Bila ada pemimpin baharu, (pemimpin terdahulu) sokonglah (pemimpin) yang baharu, baru lah negeri dan negara maju … ini buat hal tak tentu arah, kita yang tua-tua pakat-pakat lah buat yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata generasi muda negara ini perlu mempunyai impian untuk menjadi generasi yang berjaya suatu hari nanti, walaupun impian itu mungkin ditertawa oleh orang di sekeliling mereka.
Najib berkata individu seperti Pengasas Alibaba Group Jack Ma dan Pengasas Apple Computer Steve Wozniak merupakan contoh jelas bahawa dengan kerja keras tanpa kenal penat lelah, impian yang dipasang itu mampu menjadi kenyataan.
“Dahulu siapa percaya dengan Jack Ma seorang guru dan Wozniak seorang yang gagal di universitinya, tetapi mereka berani bercita-cita tinggi dan mengejar impian mereka itu, mereka berjaya realisasi impian mereka. Bila kita punyai impian dan berusaha realisasikan impian itu, kita akan jadi berjaya,” katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci