Saturday, 25 November 2017
Larang Bertudung : 7 Hotel Antarabangsa Disiasat
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memulakan siasatan ke atas hotel antarabangsa bermula dengan tujuh hotel di Putrajaya Selasa lalu berhubung dakwaan larangan pemakaian tudung terhadap pekerja wanita beragama Islam.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) JTKSM, Paeza Rosdi berkata, siasatan tersebut akan diteruskan ke negeri-negeri lain termasuk Kedah dan Pulau Pinang serta yang terdekat adalah di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Seramai dua pegawai jabatan kami dihantar ke setiap hotel tersebut dan siasatan dijalankan dengan melakukan temu bual ke atas pekerja serta pihak pengurusan hotel berkenaan bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung larangan bertudung.
“Walau bagaimanapun, hasil siasatan di tujuh hotel di Putrajaya mendapati tiada halangan bagi pekerja wanita untuk memakai tudung, sebaliknya terdapat hotel menyediakan tudung bersesuaian dengan uniform untuk dipakai pekerja mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya, Kemahiran dan Produk Inovasi Orang Kurang Upaya (OKU) 2017, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar (Cawangan Dasar Perburuhan), Kementerian Sumber Manusia, Dr. Faizal Zainudin dan Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, K. Bathmavathi.
Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam dengan diarahkan menanggalkan tudung mereka.
Walau bagaimanapun, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar antarabangsa.
Dalam pada itu, kata Paeza, pihaknya hanya mengetahui mengenai dakwaan larangan tersebut berdasarkan liputan media ekoran sebelum ini tiada laporan mahupun aduan rasmi yang diterima pihaknya.
“Kami sudah bertanya di semua pejabat negeri dan mereka juga tidak mendapat sebarang aduan berhubung perkara tersebut.
“Kami juga turut menghubungi pihak Uni-MLC untuk mendapatkan maklumat mengenai 16 hotel yang bakal didedahkan, namun tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya.
Sementara itu, karnival yang dianjurkan Bahagian Dasar (Cawangan Dasar Perburuhan), Kementerian Sumber Manusia itu menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada golongan OKU, melibatkan 25 majikan, 30 pempamer produk inovasi, latihan kemahiran dan keusahawanan.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci