Thursday, 30 November 2017

Kadar Pengangguran Di Malaysia Rendah, Tak Melepasi 4 Peratus



Kadar pengangguran di negara ini kekal berada pada paras bawah 4 peratus setakat September lepas, iaitu pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur.

Timbalan  Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang memetik  laporan siasatan tenaga buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa kadar pengangguran ini berada pada paras stabil manakala jumlah guna tenaga negara adalah seramai 14.67 juta orang.

"Menurut laporan yang sama juga, pendaftaran pencari kerja aktif yang berdaftar dengan Job Portal Malaysia sehingga September lepas adalah seramai 270,330 orang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang ingin tahu statistik pengangguran melibatkan graduan di negara ini serta bilangan kekosongan jawatan atau pekerjaan mengikut taraf pendidikan dan sektor yang perlu diisi pada masa ini.

Ismail berkata seramai 131,600 orang pencari kerja mempunyai kelulusan diploma dan ke atas berbanding seramai 37,250 yang mempunyai kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sijil dan ke bawah.

Katanya lagi, terdapat sebanyak 223,167 kekosongan jawatan diiklankan majikan melalui Job Portal Malaysia dengan kekosongan jawatan tertinggi adalah dalam sektor pembuatan, diikuti sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, perkhidmatan, pentadbiran dan perkhidmatan sokongan, kejuruteraan awam, perakaunan, kejuruteraan mekanikal, teknologi maklumat dan sains komputer. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci