Wednesday, 22 November 2017

Emosi Awal Pagi Penentu Nilai Diri




Oleh : Nik Hasnah Ismail

SECARA teorinya setiap orang yang bangkit dari tidur dalam waktu sepuluh minit pertama akan menentukan nilai positif dirinya sepanjang hari. Dengan kata lain, sepuluh minit selepas bangkit dari tidur hendaklah positifkan diri dengan emosi terbaik supaya mendapat hasil tindakan yang positif.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, berkata apabila bangkit dari tidur hendaklah berada dalam situasi positif seperti berfikir, bercakap dan bertindak dengan perkara yang baik.

Katanya, tindakan dan cara berfikir pada awal pagi akan menentukan kejayaan kita pada hari itu. Sebab itu perlu pertahankan perasaan dan emosi positif sehingga jam 10 pagi kerana apabila memperoleh pagi yang baik, ia akan mempengaruhi seluruh hari kita.

"Ada sesetengah kita apabila bangkit dari tidur akan berasa perkara negatif seperti marah, sedih, kecewa dan kekurangan, menyebabkan perasaan tidak keruan. Jika berperasaan begini, hendaklah baiki semula hati supaya perkara negatif tidak menjejaskan tindakan kita," katanya.

Banyak bersedekah

Beliau berkata, membuang rasa kemarahan adalah dengan memaafkan kerana memaafkan orang lain bererti kita memaafkan diri sendiri. Jika ada perasaan resah gelisah, itu tandanya dosa kita kepada Allah SWT dan tindakan yang perlu diambil adalah memperbanyakkan istighfar serta bertaubat.

Begitu juga jika bangun dari tidur kita berasa tidak ceria dan sedih, bererti kita kurang memberi kerana bijak pandai mengungkapkan, yang memberi itu lebih bahagia daripada mereka yang menerima. Justeru, ringan-ringankan tangan untuk menghulur sedekah dan memberi apa yang termampu.

Perbuatan memberi akan mendatangkan rasa bahagia dalam hati. Pepatah juga menyebut, tangan yang menghulur bunga mawar pastinya berbau harum. Oleh itu, memberi mendatangkan bahagia kepada penerima dan nikmat kebahagiaan lebih lagi dirasakan oleh yang memberi.

Jika kita berasa rezeki, masa atau tenaga yang dimiliki tidak mencukupi, maka cepat-cepatlah ucapkan 'Alhamdulillah' kerana berasa syukur akan menjadikan kita berasa cukup.

Sentiasa bersyukur

Menurut Pahrol, secara prinsipnya, apabila kita bersyukur dengan hal yang sedikit Allah SWT akan menambah lebih banyak nikmat dan kecukupan kepada kita. Jangan sesekali menunggu mendapat nikmat banyak baharu hendak bersyukur.

Katanya, nilai syukur bukan berapa banyak yang kita peroleh tetapi bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Begitu juga jika didatangi rasa malas apabila bangkit dari tidur, itu bukan bermakna kita tidak mampu melakukan sesuatu kebaikan atau apa sahaja perkara yang perlu dilakukan, tetapi rasa malas datang kerana dosa yang sudah melekat pada pancaindera kita.

Jika pancaindera sudah terbiasa dihidangkan dengan perkara buruk atau maksiat, ia menyebabkan kita menjadi malas dan tidak bermaya melakukan perbuatan mendatangkan manfaat dan kebaikan.

Hasil makanan haram

Perasaan malas juga disebabkan kita banyak memakan makanan haram. Makanan haram itu barangkali adalah hasil daripada pekerjaan yang tidak halal. Mungkin juga hasil pendapatan kerana kerja curi tulang atau tidak sempurna.

Begitu juga makanan yang datang daripada sumber syubhah menyebabkan ia tidak halal dimakan. Ini yang menyebabkan kita menjadi bosan dan malas kepada perkara baik seperti malas untuk mendengar bicara ilmu, menolong orang dan sebagainya.

Oleh itu, jangan sesekali memandang remeh perilaku kita setiap hari. Hati yang keras sukar untuk dilembutkan jika kita sendiri tidak berusaha melenturnya dengan mengikuti pengajian agama di majlis ilmu, membaca al-Quran, berzikrullah dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Bangkit pada awal pagi dengan hati sentiasa bersemangat dan selalu bersangka baik terhadap kehidupan. Ia akan diperoleh apabila hati bersih daripada segala dosa dan noda. Mukadimah akan menentukan natijah dan menjadi Mukmin berjaya serta cemerlang mestilah mengikuti ajaran agama Islam.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci