Wednesday, 29 November 2017

Agenda Bumiputera Di Landasan Yang Terbaik Dan Menyeluruh



MUKADIMAH
SEJAK kebelakangan ini wujud persepsi yang kononnya kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membawa apa-apa manfaat kepada agenda bumiputera meskipun hakikatnya banyak telah dilaksanakan menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Berikutan isu itu, wartawan Utusan Malaysia, SYUKRI SHAARI menemu bual Exco Pemuda UMNO, SHAHRIL HAMDAN (gambar) untuk menjelaskan dengan lebih lanjut serta menjawab dakwaan yang dilemparkan.

UTUSAN: Wujud dakwaan kononnya kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perjuangkan agenda bumiputera. Adakah ini benar?

KUALA LUMPUR 28 NOVEMBER 2017 - Temubual Exco Pemuda UMNO,Shahril

SHAHRIL: Itu merupakan dakwaan dan persepsi palsu serta silap sama sekali. Hakikatnya terlalu ba­nyak inisiatif dan usaha dilaksanakan Perdana Menteri yang mencakupi keseluruhan spektrum pembangunan agenda bumiputera.

Seluruh spektrum itu bererti dari sudut jangka pendek dan panjang. Jangka pendek untuk percepat pemilikan aset, ekuiti dan pegangan bumiputera dalam pelbagai sektor serta industri manakala jangka panjang melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang berterusan.

Jadi, mengapa wujud persepsi seperti itu?

Ada pelbagai faktor, salah satunya ialah propaganda pihak pembangkang yang mahu memberi gambaran satu situasi kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) meminggirkan segmen tertentu dan dalam hal ini merujuk kepada agenda bumiputera.

Hakikatnya, agenda bumipu­tera di bawah kepemimpinan Perdana Menteri hari ini lebih menyeluruh dan menerokai secara mendalam potensi orang Me­layu dan bumiputera berbanding kepemimpian terdahulu.

Apa yang ditimbulkan banyak pihak adalah hasil daripada agenda bumiputera di bawah kerajaan hari ini? Mereka tidak nampak.

Semasa kepemimpinan era 80an dan 90an bantuan diberikan kepada orang tertentu atau dalam erti kata lain kroni sehingga satu malam sahaja boleh jadi bilionair.

Agenda ketika itu hanya memberi kekayaan kepada tiga, empat individu, tidak ramai tetapi dicanangkan sehingga rakyat anggap agenda itu berjaya. Zaman pentadbiran Datuk Seri Najib, beliau fokus kepada yang layak, bukan hanya kerana merit sebagai bumiputera tetapi kerana kualiti yang ada pada mereka.

Sebagai contoh, banyak syarikat bumiputera yang layak me­nerima projek Transit Aliran Massa (MRT). Bukan mahu menidakkan pencapaian dahulu, tetapi agenda yang dilaksana hari ini lebih tersasar kepada pemba­ngunan bumiputera yang hakiki.

Terdapat sesetengah orang Melayu dan bumiputera mempunyai mentaliti yang negatif terhadap Teraju serta menganggap agensi itu seolah-olah untuk golongan elit. Apa pandangan anda?

Saya fikir sebenarnya usahawan bumiputera sendiri perlu le­bih proaktif dan berani. Kita jangan terlalu segan silu, takut gagal dan sebagainya. Tidak salah sekiranya kita bertanya. Kalau kita gagal atau tidak layak menerima pembiayaan, kita cari jalan lain untuk membolehkan kita layak.

Kerajaan boleh buat banyak perkara tetapi akhirnya orang Melayu sendiri yang perlu ambil inisiatif. Kalau semua mahu disuap, itu bukan agenda bumiputera lagi.

Salah satu agenda jangka panjang pemerkasaan bumiputera adalah menerusi Yayasan Pene­raju Pendidikan Bumiputera di bawah Teraju. Boleh ulas lebih lanjut peranannya?

Perdana Menteri pergi ke tahap lebih spesifik dalam agenda bumiputera. Yayasan ini bertujuan memastikan modal insan bumiputera terus diperkasa dan di­tingkatkan kualitinya.

Kalau dahulu kerajaan beri biasiswa, tetapi hari ini pendekatan lebih mikro iaitu melihat kepada ruang pasaran masa depan untuk diteroka bumiputera. Contohnya, kerajaan melihat masa depan bumiputera bukan sekadar perlu melihat kepada jurusan perakaunan tetapi forensik perakaunan. Jadi fokus diberikan kepada jurusan itu dalam bentuk skim latihan dan pendidikan kepada bumiputera.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci