728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, 3 October 2017

    Tidak Adil Bandingkan Jumlah Penjawat Awam Negara Lain





     "Adalah tidak adil untuk membandingkan jumlah penjawat awam di negara ini dengan negara-negara lain kerana takrifan penjawat awam di negara ini adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata takrifan tersebut meliputi sektor perkhidmatan kesihatan seperti doktor dan jururawat, anggota keselamatan termasuk tentera serta polis dan warga pendidikan yang merangkumi para guru.

    "Di sebahagian negara-negara lain, mereka tidak menghitung pekerja dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan sebagai penjawat awam,”katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

    MAPPA merupakan acara tahunan di mana Perdana Menteri menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri, kerajaan tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

    Najib berkata kerajaan tersinggung dan marah kerana ada sesetengah pihak khususnya pembangkang menuduh kononnya perkhidmatan awam negara ini sudah terlebih bilangannya, berbanding negara-negara lain di dunia.

    "Jika mereka (pembangkang) berkuasa, dengan angkuhnya, mereka mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam,” kata Najib.

    Pihak pembangkang juga tergamak melabelkan penjawat awam dan memberi tanggapan negatif selain menyelar secara semberono bahawa perkhidmatan awam sebagai ‘tidak cekap’, ‘makan gaji buta’ dan sungguh keterlaluan, apabila ada pemimpin pembangkang  sanggup menghina penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’, katanya.

    Menurut Najib, dalam institusi kerajaan, perkhidmatan awam menjadi jentera perkhidmatan awam utama untuk penyampaian dan pelaksanaan segala dasar serta inisiatif kuasa politik yang memerintah secara sah.

    Menurutnya, terdapat persepi atau kefahaman bahawa ada pemisahan, yakni kuasa politik yang memerintah secara sah tidak ada kena mengena dengan perkhidmatan awam, seperti sesetengah orang akan berkata, kuasa politik yang memerintah secara sah boleh datang dan pergi, namun perkhidmatan awam tetap sama.

    "Sebaliknya, kerajaan yang terbentuk daripada Jemaah Anggota Pentadbiran, sebenarnya satu hubungan hierarki dengan perkhidmatan awam, di mana, kerajaan adalah penentu dasar pentadbiran negara dan dasar tersebut hendaklah dilaksanakan oleh perkhidmatan awam dengan berkesan untuk kebaikan negara seperti yang diperintahkan,” katanya.

    "Perkhidmatan awam negara ini sudah cukup matang dan berhemah untuk menghadami dan mena’akul ehwal hubung kait yang diutarakan ini, dengan mendalam, kerana antara keduanya tidak boleh terpisahkan. Antara pihak anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam adalah ibarat ‘aur dengan tebing’," katanya.

    Justeru, Najib berkata apabila terdapat pihak atau pembangkang memperlekeh, mentohmah atau menfitnah penjawat awam, maka cacian atau kata-kata nista itu seumpama menghina secara langsung pihak kerajaan secara keseluruhannya dan begitu juga sebaliknya.

    "Jadinya, kita mesti bersyukur dengan nikmat yang sedang dikecapi dan tidak membiarkan tanah air ini jatuh ke tangan mereka (pembangkang) tidak menghargai sumbangan dan susah payah para penjawat awam," katanya.

    Menurut Najib,  jika benar tohmahan penjawat awam di negara ini tidak cekap, mana mungkin mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang merupakan pencetus perubahan dalam perkhidmatan awam yang diakui Bank Dunia sebagai model terbaik perkhidmatan kerajaan di dunia sehingga mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM2 bilion.

    "Jika dahulu, perkhidmatan memperbaharui pasport mengambil masa sehingga 10 hari bekerja, kini cuma memerlukan satu jam sahaja, berbanding di United Kingdom dan Australia yang mengambil masa selama tiga minggu. Malah, sistem pembaharuan pasport dalam talian sedang melalui tempoh ujian. Inilah yang dinamakan inovasi dalam mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menggariskan tiga cabaran utama yang bakal ditempuhi oleh perkhidmatan awam iaitu pertamanya, mendepani era, geopolitik dan keamanan sejagat yang membabitkan krisis di antara negara-negara Islam di Teluk, program nuklear Korea Utara dan implikasi fenomena Brexit atau Britain Exit (Britain keluar daripada Kesatuan Eropah), serta kes-kes keganasan, letupan, pengeboman di tempat-tempat awam oleh kumpulan pengganas dan ekstremisme di dunia.

    "Oleh itu, kerajaan sentiasa memantau situasi keamanan dan keselamatan negara, sekali gus berusaha memastikan agar para penjawat awam tidak terpengaruh apatah lagi terlibat dengan kegiatan puak pelampau ini seperti Daesh dan IS, yang telah menyalahtafsirkan konsep jihad sebenar," kata Najib.

    Najib berkata kerajaan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif strategik di bawah Dasar Transformasi Nasional demi memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam memelihara kepentingan dan memenuhi kehendak serta kebajikan rakyat.

    Katanya kerajaan berusaha gigih menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya dalam kalangan di bawah kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan kumpulan M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana) di bawah jenama 1Malaysia seperti PPA1M, Klinik 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kad Diskaun Siswa 1Malaysia serta bantuan kepada para petani, pekebun kecil, nelayan serta peneroka Felda.

    Najib berkata kerajaan akan terus memfokus kepada projek-projek infra-rakyat seperti Transit Aliran Massa (MRT) yang bertaraf dunia dan begitu juga dengan projek-projek Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang sedang rancak dan bakal dibina.

    "Di Sabah dan Sarawak pula, kerajaan mengotakan janji melalui pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo dan berharap kawasan-kawasan terpencil seperti Kapit dan Ulu Song yang sebelum ini terputus hubungan, dapat bersama merasa nikmat kemajuan," katanya.

    Perdana Menteri berkata cabaran ketiga yang akan dilalui oleh barisan penjawat awam ialah kemunculan gelombang teknologi baharu yang dikenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan Ekonomi Digital yang menyebabkan kerajaan terus berusaha dalam menjayakan Dasar Digital Malaysia.

    Menurutnya, IR 4.0 berlaku melalui tiga ciri utama iaitu kelajuan, keluasan dan kedalaman serta impak menyeluruh yang akan menyebabkan dunia pada masa hadapan dipenuhi dengan fenomena-fenomena yang tidak pernah tergambar dalam fikiran seperti kereta autonomi, pengkomputeran kuantum dan kecerdasan buatan.

    "Kesemuanya ini menuntut keupayaan perkhidmatan awam dalam memberi respons segera kepada pelbagai teknologi yang kacau-ganggu, atau bersifat disruptif ini dan bersedia dengan pendekatan yang lebih segar lagi pelbagai dimensi serta kombinasi top-down (atas ke bawah) dan bottom-up (dari bawah ke atas), inside-out (luar dan dalam) serta outside-in (dalam dan luar), khususnya dalam penggubalan dasar regulasi baharu yang merangkumi hak dan privasi pelanggan, keselamatan, pendidikan, ekonomi serta teknologi pintar," katanya.

    Najib pada majlis itu juga memaklumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji pendirian Malaysia yang anti-keganasan dan mengiktiraf Malaysia sebagai negara pelaku global antara yang penting di rantau Asia Tenggara dan dunia.

    Katanya sewaktu pertemuannya bersama Trump dalam lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat atas jemputan presiden itu, kerajaan Amerika Syarikat dalam kenyataan rasmi bersama, telah bersetuju untuk pihak Myanmar menghentikan penindasan dan operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya.

    - Bernama

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Tidak Adil Bandingkan Jumlah Penjawat Awam Negara Lain Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top