BINTANG AF2016, Ara Johari, 19, mengakui kehidupannya kini berubah selepas bergelar seorang penyanyi.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, dia perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara kerana enggan terpalit dengan kontroversi yang boleh menjatuhkan namanya.
"Setelah bergelar penyanyi, kehidupan saya kini lebih berbeza di mana ramai mula mengenali siapa Ara.
"Banyak perkara yang perlu dijaga kerana orang memandang kita atas dan bawah, setiap gerak-geri serta tingkah laku menjadi perhatian, jadi saya perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara.
"Sekali kita buat silap, sampai bila-bila orang akan ingat dan walau banyak mana pun kita buat baik, belum tentu ada orang beri perhatian mahupun ingat.
"Mungkin ini merupakan asam garam yang perlu saya lalui sebagai anak seni dan perjalanan saya masih lagi jauh serta banyak yang perlu ditempuh," katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Ara, dia kini dalam proses mempromosikan single keduanya, Bunga, selepas kejayaan single pertama, Warkah Untukku yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
"Bunga merupakan luahan rasa saya dalam lagu dan mesej yang cuba disampaikan merupakan peringatan buat setiap wanita agar lebih berwaspada dan tidaklah bertujuan untuk menjatuhkan kaum lelaki.
"Ia menceritakan tentang cinta segelintir wanita di luar sana pada kaum lelaki yang sering terarah kepada kemewahan harta benda serta rupa paras yang menarik.
"Di samping itu, ia lebih kepada nasihat kepada para wanita untuk lebih berhati-hati apabila mencari pasangan kelak," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci