Persatuan Bugis Johor mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad memulangkan semula Darjah Kebesaran yang pernah diterimanya daripada Sultan Johor.
Yang Dipertuanya, Datuk Awang Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu harus berbuat demikian kerana Sultan Johor adalah berketurunan dan berdarah Bugis.
“Jadi kita cabar dia untuk serahkan semula darjah tersebut kepada Tuanku kerana menghina orang Bugis serta Sultan Johor dan sultan-sultan berketurunan Bugis,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Pasir Emas di sini semalam.
Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya Sabtu lalu menyebut Datuk Seri Najib Razak, mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Kenyataan tersebut mengakibatkan banyak pihak terutama mereka yang berketurunan Bugis tersinggung sambil menyifatkan negarawan itu menjatuhkan maruah masyarakat tersebut.
Mengulas lanjut, Awang berkata, kenyataan Bugis sebagai lanun itu benar-benar mengguris dan perkataan terhina bagi masyarakat tersebut sekali gus mendesak permohonan maaf atas keceluparannya.
“Kami mendesak Tun Dr. Mahathir memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan itu sebagai satu tuntutan yang mulia dalam Islam.
“Kita lihat dengan permohonan maaf ini dapat mengendurkan ketegangan yang bukan hanya kepada masyarakat Bugis di negara ini sebaliknya saudara Bugis seperti di Indonesia yang sama-sama turut tersinggung,” katanya.
Beliau mendakwa, terdapat kira-kira enam juta orang berketurunan Bugis di rantau ini.
Sumber – Utusan
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci