Friday, 20 October 2017

Kenapa Ibu Tidak Boleh Manjakan Anak Lelaki? [VIDEO]




Jangan sesekali mak-mak mengharamkan anak lelaki masuk dapur atau tak benarkan buat kerja-kerja orang perempuan di dapur. Sikap terlalu memanjakan anak lelaki inilah nanti akhirnya ‘merosakkan’ mereka dan hilangkan kualiti kepimpinan yang ada dalam diri anak lelaki.

Sebab itu kena biasakan anak lelaki basuh beras, lipat baju, siang ikan, potong sayur (sekadar menyebut beberapa contoh) dan tugas-tugas lain yang orang perempuan lakukan. Agar mereka lebih menghargai dan memahami kerja-kerja orang perempuan, iaitu ‘IBUNYA’.

Benar bukan mudah mendidik anak lelaki menjadi LELAKI yang kaya dengan sifat kewalian. Namun itulah amanah yang patut mak-mak terapkan sejak mereka masih kecil. Perkongsian Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dalam salah satu persoalan ceramahnya memaklumkan kenapa mak-mak tak boleh memanjakan anak lelaki.

Kerana kegagalan ibu memberi didikan sunnah yang sepatutnya menjadikan ‘mak-mak seorang yang zalim sebab tak dedahkan kebijaksanaan pengurusan pada anak-anak lelaki’



Ini Sebab Kenapa Tak Boleh Manjakan Anak Lelaki

Persoalan penonton ceramah tentang kualiti kepimpinan lelaki hari ini yang makin berkurang, berbanding wanita yang lebih cemerlang membuka topik mengapa mak-mak tak boleh memanjakan anak-anak lelaki mereka.

1. Kerja-kerja Orang Perempuan Inilah Sebenarnya Tugasan Wajib Anak Lelaki
Hasil pemerhatian ustazah, kaum wanita tak mendidik anak lelaki sebagaimana sepatutnya. Mak-mak banyak memberi ‘excuse’ dan pelepasan pada anak lelaki. Contoh mudah: ketika di rumah, siapa yang memasak nasi? Anak lelaki atau perempuan. Kenapa ‘masak nasi’ jadi penting? Sebab urusan memasak nasi, membasuh pinggan malah menghidang sepatutnya dijuarai oleh anak lelaki.

2. Kerja Renyah Ini Kelak Melahirkan Anak Lelaki Yang Hebat
“Saya terbuka mata bila berjumpa dengan seorang tokoh ibu mithali di Muar. Belia mempunyai 10 orang anak. Yang mana, 9 lelaki dan seorang perempuan. Tetapi anak perempuannya meninggal dalam usia muda.

“Ibu ini tiada pilihan melainkan mendidik anak-anak lelakinya dengan kerja-kerja memasak, menyapu, mengelap, membasuh malah menyidai kain. Akhirnya ibu ini telah melahirkan anak-anak bekerjaya doktor, engineer dan sebagainya.” ujar Ustazah Isfadiah lanjut.

Dalam satu kisah yang lain, ustazah berkongsi bagaimana cerewetnya seorang doktor lelaki yang terbiasa dengan kerja-kerja orang perempuan ini. Namun, akhirnya dia menjadi seorang lelaki yang bermanfaat.

“Doktor ini berkahwin dengan kawan baik saya. Ketika dalam satu majlis dan mahu merakam gambar, dia minta bantuan budak lelaki usia dalam 9 ke 10 tahun untuk tangkap gambar kami. Kali pertama budak itu ambil, dia kata ‘kenapa jambul pakcik tak masuk’. Tangkap lagi, ‘ni makcik sekerat’, seterusnya, dia kata ‘Aii.. gelap’ Dekat 5 minit dia minta budak tu ambilkan gambar, sampai jadi.

Apa yang saya belajar? Walaupun doktor ini cerewet dalam 5 minit berurusan dengan anak kecil tadi, akhirnya anak kecil ini belajar sesuatu. Dia belajar macam mana nak tangkap gambar dengan ‘angle’ yang baik.

Rupanya doktor ini memang sudah biasa dengan kerja-kerja di rumah, dan itulah yang menjadikan dia cerewet. Sebab dia tau apa yang baik.. ini kerana dia dah biasa buat kerja-kerja yang cerewet.

3. Agar Anak Lelaki Jadi Suami Yang Tahu Jenis-jenis Nafkah Di Rumah
Siapa penjaga nafkah dalam rumah.. kalau bukan lelaki. Tetapi adakah anak lelaki ini didedahkan dengan jenis-jenis nafkah yang ada di rumah. Sebab itulah dia kena tahu masak nasi, supaya bila dah berkahwin nanti dia tahu adakah beras masih ada lagi atau tidak, kalau isteri goreng ikan hangus pun dia tahu. Dia tahu barang rumah ada lagi atau tiada. Bukannya tahu-tahu balik rumah, minta makanan dan tunggu semua terhidang.

Biasakan anak tuang sukatan ‘pot’ beras. Biarkan dia biasa dan faham dengan urusan beras. Nanti bila sampai bab zakat, dia faham konsep cupak.

Ustazah Isfadiah juga lakukan eskperimen ada anak lelakinya: Biasakan anak lelakinya mencatat barang keperluan di rumah.Dan nyatakan apa yang kurang. Mula-mula memang anak lelakinya kekok, dengan bantuan kakak mereka dapat mencatat setiap barangan yang makin berkurang.

“Sampai suatu ketika saya tidak sempat membeli. Pulang pun dah malam. Anak dah catat barang yang tiada. Malam itu dalam jam 12, anak kejutkan ayahnya. Maklumkan banyak barang dah habis. Bila ayah kata beli esok, dia pula susah hati sebab telur habis. Nanti macam mana nak buat sarapan? Sebab nak layankan dia, tengah malam itu juga pergi 7E beli barang.”

Sebab itu kena biasakan anak-anak dengan kerja rumah. Biar dia menyapu, lipat baju, basuh baju. Kalau kotor beri tips macam mana nak bersihkan daki. Dengan bantuan tip yang mak beri, anak takkan jadi putus asa. Bila masuk asrama, ilmu tu jadi berguna.

Tidaklah nanti hujung minggu bawa pakaian kotor minta mak basuhkan. Bila dah terbiasa buat kerja rumah, anak akan belajar hargai penatnya kerja orang perempuan. Dia jadi memahami betapa renyahnya ‘depatment’ dapur itu.

4. Urusan Berkaitan Dapur Itu Budaya Sunnah
Nak buang manja dalam diri anak lelaki memang sukar, sebab cara ini bukan budaya kita. Tapi mak-mak, ini adalah budaya sunnah. Rasulullah SAW dulu seorang anak yatim. Baginda dah biasa uruskan keperluan untuk diri.

Sebab itu, ditegaskan lagi anak lelaki jangan dimanja-manjakan sangat. Nak memasak ayam, kena keluarkan dari peti ais, potong, bersihkan.. semua itu ada stepnya. Proses ini mengajar mereka menjadi SABAR. Inilah sunnah nabi, Saidina Abu Bakar sendiri perah susu kambing untuk ahli keluarganya.

5. Melatih Anak Lelaki Sentiasa Ingat Dengan Mak Ayahnya
Mulakan dengan menyendukkan nasi dekat mak ayah. Kenapa senduk nasi? Bayangkan anak itu belajar kejuruteraan dan pergi ke Jepun. Bila dia biasa senduk nasi untuk mak ayahnya. Waktu nak makan, pasti anak akan terkenangkan mak ayah.

Dia terfikir, ‘Mak dah makan ke belum?’ Sebab sebelum ini dia dah biasa senduk nasi untuk mak ayahnya. Momen itu akan menyentuh emosinya. Apabila dia dah berumah tangga kelak, dia akan ingat mak ayah dan hulurkan duit untuk mak ayah.

Dia tahu penat lelah orang tuanya. Sayangnya, hari ini semua tumpuan itu diberikan pada anak perempuan. Anak perempuan tak boleh bangun lewat, sebaliknya anak lelaki tak boleh masuk dapur. Betulkan kembali budaya ini maka akan lahirlah anak lelaki berkepimpinan sebagaimana hebatnya anak perempuan.

Dalam membentuk mereka menjadi pemimpin, yang membezakannya adalah anak perempuan kena dibangunkan sifat malu. Manakala anak lelaki bangunkan sifat kewalian (sifat hero) dalam diri mereka.

Tapi mak-mak banyak terlepas pandang. Patut hal ini diambil peduli. Takut Allah kata ‘kamu zalim sebab tak dedahkan kebijaksanaan pengurusan pada anak-anak lelakimu’

Usah Zalim, Didiklah Anak-anak Lelakimu

Sebagaimana Allah berfirma dalam surah An-nisa Ayat 9,



Maka mak-mak bertakwalah kepada Allah, didiklah anak-anak agar tidak menjadi bebanan kepada masyarakat.



No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci