728x90 AdSpace

  • Latest News

    Monday, 16 October 2017

    Graduan Perlu Ubah Mentaliti Makan Gaji - PM





    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan muda terutama pelajar universiti perlu me­ngubah mentaliti dengan memberi tumpuan terhadap bidang keusahawanan serta tidak lagi bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan.

    Najib berkata, ini kerana bidang keusahawanan terutama yang melibatkan sektor e-dagang dan ekonomi digital merupakan penjana kepada kekayaan negara dan disebabkan itu, golongan muda perlu mencabar diri de­ngan menyertainya.

    “Saya mahu mentaliti kita berubah, saya tidak mahu dalam fikiran kita ada mentaliti apabila keluar dari universiti, dalam kepala kata ingin kerja dengan kerajaan.

    “Kita mesti cabar diri untuk fikir bahawa bidang keusahawanan boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna,” katanya dalam Program Bicara Santai Malam Gala Varsity Entreprenuership Skills and Talents (VEST) 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini malam ini.

    Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    VEST merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.

    Sejumlah RM50,000 diper­untukkan yang mana pemenang pertama disandang Universiti Tek­nologi Petronas (UTP) dengan hadiah RM25,000; kedua, Universiti Putra Malaysia (UPM) memperoleh RM15,000 dan ketiga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapat RM 10,000.

    Menurut Perdana Menteri, golongan muda perlu menconto­hi jutawan internet dari China, Jack Ma mencipta kekayaan me­lalui bidang keusahawanan internet.

    “Walaupun kita bermula dengan keadaan yang serba sederhana, jangan lupa Jack Ma bermula di dalam satu apartmen kecil.

    “Saya sudah pergi ke China dan lihat gambar apartmen Jack Ma yang seluas 600 kaki persegi sahaja ketika dia bermula sebagai usahawan tetapi hari ini, Jack Ma antara yang terkaya di dunia,” katanya.

    Dalam pada itu Najib berkata, kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada golongan usahawan muda dengan memberi penekanan dari segi latihan dan kemahiran kepada golo­ngan tersebut melalui pelbagai agensi.

    “Selain beri pelbagai latihan dan kemahiran, pada saya program mentoring juga perlu juga ditekankan kepada usahawan muda ini,” katanya.

    Sementara itu, beliau yakin program VEST 2017 dapat melatih dan mendidik para pelajar universiti untuk menjadi kelompok yang berwibawa dalam bidang keusahawanan.

    - UTUSAN ONLINE


    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Graduan Perlu Ubah Mentaliti Makan Gaji - PM Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top