Tuesday, 31 October 2017

Air Mata Iringi Doa Di Kem Rohingya




Bacaan doa diiringi air mata sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dan pelarian menimbulkan suasana hiba di kem Kutupalong.

Ini kerana di sekitar kem itu sebelum ini suasananya begitu kelam-kabut dengan ratusan pelarian ‘menyerbu’ doktor dan sukarelawan untuk mendapatkan rawatan percuma serta ubat.

Doa dipimpin Exco Muslim Care Dr Riduan Mohamad Nor itu menyebabkan ada pelarian memeluk sukarelawan kerana tidak dapat menahan sedih mengenangkan nasib menimpa mereka.

Tambahan pula, keadaan di sekitar kem dipenuhi pelarian yang sanggup menunggu lebih empat jam untuk mendapatkan makanan dan pakaian dibawa Muslim Care untuk misi kali ini.

Ia turut mengundang perasaan bercampur baur dalam kalangan doktor yang merawat mereka kerana keadaan yang terlalu daif di situ.

Bagi Pakar ICU Kanak-Kanak Hospital Selayang Dr Anis Siham Zainal Abidin, dia sendiri tidak dapat membendung rasa pilu melihat kehidupan kanak-kanak pelarian berkenaan yang seolah-olah tidak ada masa depan.

“Saya tersentuh kerana melihat keadaan mereka sangat lapar, ada yang sakit dan mereka juga tidak tahu hala tuju dengan kehidupan dilalui.

“Tidak banyak dapat kita lakukan di sini berbanding hakikat sebenar yang mereka perlukan. Bagaimana nanti kehidupan mereka terutama tanpa pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Merlimau Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sepanjang beberapa kali menyertai misi kemanusiaan, ini misi yang begitu meninggalkan kesan memandangkan pesakit yang dirawat adalah mangsa krisis kemanusiaan.

Katanya, dia sedih memikirkan ada antara pelarian mengalami kecederaan ditembak dan dipukul tanpa menerima sebarang rawatan untuk jangka masa panjang.

“Ada yang lebih sebulan tidak dirawat dan kita boleh bayangkan bagaimana keadaan mereka yang tiada pilihan selain terus bertahan. Mereka diuji dengan begitu hebat,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci