Friday, 29 September 2017

Bekas Penghuni Pusat JKM Dakwa Warden Liwat Remaja Dibiarkan Bebas




Seorang bekas penghuni sebuah pusat jagaan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendesak Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun mengarahkan siasatan terhadap laporan jenayah liwat dan penderaan seksual melibatkan warden di pusat seumpama itu di Melaka sejak tahun 2000.

Muhammad Khairul Hafiz Abdullah, kini 30 tahun, berkata selain beberapa laporan polis terhadap seorang warden berusia lebih 50 tahun itu, beliau juga mempunyai bukti pengakuan pelaku itu dirakam.

“Saya ada bukti wujudnya kes liwat dan penderaan seksual di pusat jagaan terbabit dan saya ada bukti dari A ke Z, termasuk pengakuan daripada pengawai terbabit saya rakam,” katanya ketika temubual bersama FMT.

Menurutnya, jenayah itu berlaku sejak 17 lalu, bermula tahun 2000.

“Bayangkan berapa ramai remaja yang menjadi mangsa,” kata Khairul, yang mengetuai Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak).

“Saya bukan buat tuduhan palsu. Saya buat dakwaan ini berdasarkan pengakuan daripada mangsa dan pengalaman saya sendiri semasa berada di sana.”

Khairul berkata setelah ditekan, si pelaku mengaku melakukan jenayah tersebut, bagaimanapun tidak mengingati berapa ramai dimangsakan dan memaklumkan hanya melakukan “seks ringan” sahaja.

Menurutnya, beliau pernah “tengok depan mata sendiri” ketika menghuni pusat itu 15 tahun yang lalu, dan masih trauma bagaimana orang yang sama pernah cuba meliwatnya.

Khairul mendakwa sudah 9 remaja berumur antara 13 dan 18 tahun membuat aduan.

Bagaimanapun, mangsa disogok wang dan diugut tidak membocorkan rahsia kepada pihak lain, atau berdepan tindakan dipindahkan ke sekolah Tunas Bakti Juvana, sebuah sekolah untuk kanak-kanak bermasalah.

Khairul memberikan contoh kes seorang remaja sebelum ini mengaku diliwat lebih 40 kali sehingga menyebabkan kecederaan, tetapi kemudian dihantar ke sekolah tersebut.

Tiada tindakan

Khairul berkata sehingga hari ini, tiada tindakan diambil walaupun laporan polis dibuat sejak 2010.

“Kami persoal kenapa sehingga hari ini tiada tindakan daripada pihak polis diambil walaupun banyak laporan dibuat kepada pelaku. Laporan dibuat pada 2010, 2011, dan terbaharu 2017.

“Saya desak sekali lagi kes ini dibuka semula dan satu tindakan drastik diambil. Tidak kiralah isu ini berlaku beberapa tahun lepas, asalkan hukuman setimpal dikenakan,” katanya.

Khairul berkata aduannya kepada JKM turut menemui jalan buntu.

“Tiada hukuman dikenakan, sebaliknya alasan yang diberikan, pihak mereka mahu menyiasat terlebih dahulu.

“Kenapa pegawai ini dibiarkan begitu sahaja, kenapa tidak dipenjara?”

“Niat saya untuk membantu anak-anak dari terus menjadi mangsa dan tidak mahu melihat ramai lagi menjadi mangsa.

“Saya dedahkan perkara ini bukan suka-suka, saya ada bukti dan saya bertemu empat mata dengan pelaku dan rakam setiap percakapan,” katanya, dan mempersoalkan sama ada perkara sama berlaku di pusat jagaan lain tetapi tidak diketahui kerana mangsa diugut.

Perbak yang dipimpin beliau kini menjaga lebih 1,700 penghuni yang pernah tinggal di pusat jagaan JKM.

FMT sedang berusaha mendapatkan reaksi JKM.




No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci