Thursday, 24 August 2017
Ikon 1Malaysia Negaraku Telah Dilancar Oleh Najib
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan ikon 1Malaysia Negaraku yang menggabungkan inisiatif 1Malaysia dan Negaraku Malaysia dalam satu lambang.
Najib berkata, inisiatif 1Malaysia yang dilancarkan sejak 27 Jun 2009 telah sebati dengan rakyat Malaysia manakala inisiatif Negaraku Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan hangat daripada rakyat terutamanya bila dilaungkan.
“Jadi, untuk mengelak kekeliruan kalangan rakyat, maka kita bersetuju untuk menggabungkan kedua-duanya dalam satu simbol dan satu ikon negara supaya kita tidak ketepikan 1Malaysia dan kita juga tidak memberi tumpuan kepada Negaraku Malaysia seolah-olah 1Malaysia tidak wujud lagi atau ada konsep baharu.
“Maka, dengan ini, Negaraku Malaysia akan terus kita perjuangkan laungannya dan sebagainya dan di samping itu kita putuskan bahawa inilah gambaran ikon baharu untuk negara kita iaitu ikon 1Malaysia Negaraku,” katanya ketika melancarkan ikon berkenaan di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa serta Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Dr. Lim Kok Wing.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif 1Malaysia tidak wajar diketepikan kerana merupakan falsafah yang membawa pengertian mendalam kepada rakyat Malaysia dalam melambangkan hasrat untuk mencapai perpaduan nasional melalui semangat kebersamaaan, kebersatuan, kerjasama dan saling hormat-menghormati.
“Kita merentasi pelbagai cabaran dan pelbagai rintangan tetapi berbekalkan konsep semangat prinsip dan nilai asas yang ada kaitan dengan konsep 1Malaysia, maka kita boleh melihat bahawa negara kita mampu bergerak setapak demi setapak ke arah matlamat yang diidamkan.
“Satu lagi yang kita telah lakukan berlainan dengan masa-masa dahulu adalah konsep 1Malaysia ini dikaitkan dengan banyak program dan produk yang mengambil nama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M),” katanya.
Mengulas lanjut, kata Najib, beliau yakin ikon 1Malaysia Negaraku akan diterima sepenuhnya oleh rakyat bersesuaian dengan sambutan kemerdekaan negara yang diraikan secara besar-besaran pada 31 Ogos ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia atas kerjasama menghasilkan ikon ini dan Tan Sri Dr. Lim Kok Wing serta Universiti Limkokwing atas sumbangan untuk kita mengadakan ikon baharu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci