728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday 15 August 2017

    Cabaran Institusi Raja Payungi Negara




    SETELAH hampir men­cecah 60 tahun usia kemer­dekaan Malaysia pa­da penghujung Ogos ini, persoalan yang perlu dilontarkan ialah sejauh manakah asas kefahaman rakyat negara ini mengenai ke­perluan institusi raja dalam pentadbiran Malaysia yang berdaulat ini?

    Justeru, institusi raja di Malaysia perlu difahami dengan jelas oleh pelbagai lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang pendidikan. Kita perlu menyedari asas pembinaan negara ini yang berkait rapat dengan populasi utama penduduk negara ini, yakni orang Melayu mempunyai sejarah kegemilangannya tersendiri melalui kesultanan-kesultanan Melayu.

    Begitupun lunturnya asas kefahaman rakyat hari ini menyebabkan mereka gagal mengambil ibrah dan sumber kekuatan daripada sejarah lampau untuk membangunkan negara pada hari ini.

    Artikel ini meninjau ­keperluan institusi raja dengan melihat dari tiga perspektif keperluan institusi tersebut. Ini berdasarkan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena ‘Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Yang Lebih Tersurat’ yang berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya pada 5 Ogos lalu.

    Pertama, institusi raja perlu dilihat dan dinilai melalui pers­pektif sejarah bagi melahirkan penghayatan yang jelas oleh rakyat di dalam negara ini. Sejarah melakarkan kerajaan-kerajaan Melayu silam ditadbir oleh seorang raja Melayu bagi setiap negeri dan rakyat di negeri itu dianggap sebagai rakyat Sultan.

    Hal ini amat berbeza dengan konsep politik moden yang meng­anggap rakyat sebagai warga bagi sebuah negara. Hal ini juga menyebabkan ketaatan rak­yat kepada raja amat tinggi dan ini berbeza dengan konsep warga­negara yang dicanang oleh Barat berdasarkan sempadan geografi.

    Konsep ‘rakyat kepada Sultan’ ini telah menyukarkan penjajahan British yang menyebabkan mereka gagal mengalihkan taat setia orang Melayu secara penuh daripada seorang Sultan kepada kuasa penjajah baharu, yakni imperialis British. Menyedari hal ini, British hanya mampu mengambil hasil bumi tanpa mendapatkan kesetiaan orang Melayu secara penuh kerana agama dan istiadat masih berada di bawah pentadbiran Sultan di setiap negeri.

    Kebangkitan orang Melayu menentang penjajahan Malayan Union juga menjadi bukti utuh bahawa orang Melayu tidak bersetuju dengan terhapusnya kuasa raja-raja Melayu sekali gus ­meyakinkan ketaatan orang Melayu yang masih tidak berbelah bahagi terhadap raja mereka.

    Konsep pemahaman sejarah hubungan antara raja dan rak­yat boleh difahami dengan frasa ‘Raja dan rakyat berpisah tiada kerana raja umpama pohon dan rakyat itu adalah akarnya’. Begitupun, pemahaman sejarah dalam kala­ngan rakyat Malaysia mulai meluntur.

    Refleksi kedua yang perlu diberikan dalam memahami institusi raja oleh rakyat ialah melalui tatapan gambaran sistem pentadbiran negara dengan wujudnya institusi raja dibandingkan de­ngan sistem pentadbiran negara-negara lain.

    Setelah pemahaman sejarah diterangkan di atas wujud dalam diri setiap rakyat, kita perlu menyedari sistem pentadbiran negara sesudah kemerdekaan dicapai menekankan konsep demokrasi berparlimen di samping raja berperlembagaan. Sejauh manakah pemahaman kita terhadap dua konsep ini?

    Titah Sultan Perak mentafsirkan sistem raja berperlembagaan sebagai suatu bentuk perkongsian kuasa antara raja dan rakyat. Rakyat diberikan kuasa melalui Parlimen untuk menggubal undang-undang. Namun demikian, raja mestilah disembah maklum keputusan yang dicapai supaya nilai kebaikannya berfungsi sebagai pengimbang keputusan baik buruknya.

    Umum harus maklum bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik di mana jawatan ketua negara digilirkan setiap lima tahun sekali.

    Sistem raja berperlembagaan ini tidak dapat ditemukan di negara-negara lain. Namun persepsi masyarakat pada hari ini berbeza dengan hanya melihat kedudukan raja-raja Melayu sebagai simbol mahupun ceremonial dalam pentadbiran kerajaan ini.

    Mereka gagal melihat peranan raja dalam sistem pentadbiran negara melalui tiga cabang kerajaan; eksekutif, legislatif dan kehakiman.

    Refleksi ketiga perlu difahami dari sudut peranan Institusi raja dalam mengemudi Islam untuk terus terpelihara letak duduknya dan fungsinya dalam negara ini. Umum mengetahui bahawa termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-ne­geri beraja dan Yang di-Pertuan ­Agong sebagai ketua agama Islam di Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

    Kewujudan institusi raja mampu memastikan orang Melayu terus kekal dilindungi agamanya, yakni agama Islam dan di samping meneruskan peranan raja mendaya upaya kepentingan-kepentingan umat Islam di dalam negara ini. Pada masa silam ketika Islam belum tiba di Tanah Melayu, peranan raja dilihat sebagai penjelmaan Tuhan di bumi yang mempunyai kuasa mutlak.

    Namun begitu, kedatangan Islam ke Tanah Melayu menyebabkan peranan raja dianggap sebagai khalifah atau pemimpin dalam membimbing rakyat mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syariah.

    Sebagai pemimpin politik mahupun rakyat, teguran seorang raja perlu diambil kira sebagai bentuk ketaatan kepada pemimpin yang mempunyai kuasa dalam bidang agama Islam dalam negeri masing-masing.

    Berdasarkan tiga perspektif disebutkan di atas, perlu kita memperhalusi cabaran-cabaran yang mampu menggugat institusi raja dari terus berkuasa memayungi pentadbiran Malaysia.

    Raja-raja bukan sekadar perlu dihormati malahan perlu juga disembah maklum keputusan yang dibuat rakyat.

    Ini seterus­nya diberi peluang menitahkan pendapat dan buah fikiran sebagai proses imbangan dalam penghasilan dasar dan penyelesaian masalah dalam negara. Pada akhirnya, penghargaan rak­yat serta iktibar dari sejarah lampau terhadap ketaatan kepada raja perlulah menjadi pedoman dalam hidup di sebuah negara bangsa.

    Janganlah rakyat menjadi Si Kitul dan Raja Mendeliar yang memusnahkan empayar Melaka tanpa bermaruah sekali gus pengkhianatannya menjadi punca kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Semoga Malaysia terus gemilang dan makmur di bawah payung pemerintahan Yang di-Pertuan Agong menjelang jubli intan kemerdekaannya.




    PENULIS ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Cabaran Institusi Raja Payungi Negara Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top