Wednesday, 26 July 2017
TH Atur Program Ziarah, Bimbingan Kepada Jemaah Haji
Daripada Elmi Rizal Elias
MADINAH, 26 Julai (Bernama) -- Tabung Haji (TH) mengatur pelbagai program ziarah dan bimbingan agama bagi meningkatkan kefahaman serta membantu jemaah haji Malaysia musim 1438 Hijrah menunaikan rukun Islam kelima itu dengan sebaik mungkin.
Pengurus Ibadah Madinah 1438 Hijrah, Mohd Razali Zakaria berkata taklimat mengenai kedua-dua program itu disampaikan sebaik jemaah haji tiba di kota suci berkenaan, memandangkan Madinah al Munawarah mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan.
"Program bimbingan Tabung Haji adalah setaraf dengan program yang dikendalikan pakej swasta, manakala program ziarah dibahagikan kepada dua iaitu ziarah dalam dan ziarah luar," katanya pada sidang media di sini, Rabu.
Beliau berkata melalui program bimbingan itu, petugas TH akan memberikan penerangan mengenai ibadah haji serta menjawab setiap permasalahan yang dikemukakan jemaah haji mengenai ibadah tersebut.
Sementara itu, beliau berkata melalui program ziarah dalam, jemaah akan berada di Masjid Nabawi dan ditunjukkan kawasan Raudhah, serta menziarah makam Rasulullah SAW sebelum dibawa ke Perkuburan Baqi.
Sementara program ziarah luar pula, beliau berkata jemaah haji akan dibawa menziarah tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Makam Syuhada Uhud dan Masjid Tujuh.
"Program ziarah luar Tabung Haji ini adalah tempat ziarah yang terpilih," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di Madinah, akan membantu petugas TH dalam program ziarah luar melalui penerangan terhadap tempat-tempat sejarah tersebut.
Pada program ziarah hari ini, jemaah haji lelaki dibawa memasuki Masjid Nabawi melalui pintu Babus Salam, menziarah Makam Rasulullah SAW sebelum dibawa ke Perkuburan Baqi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci