Thursday, 27 July 2017

PABM: Peserta Jepun Juarai Kategori Antarabangsa





Peserta Jepun, Lisa Shimazaki menepati ramalan memenangi kategori Antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2017 di sini.




Manakala naib juara bagi kategori sama dimenangi oleh wakil dari China, Ma Xio atau Nabil dan pemenang tempat ketiga disandang Rimajon Sotlikova dari Uzbekistan yang merupakan penyertaan kali kedua dalam PABM.




Sementara itu, bagi kategori Alam Nusantara tempat pertama sebagai mana dijangka dimenangi oleh peserta tuan rumah, Noor Haqim Noor Hamiddon yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).




Pemenang tempat kedua kategori tersebut pula dimenangi oleh peserta dari Singapura, Ahmad Aidil Hadri Sa’dullah manakala seorang lagi wakil negara, Muhamad Sharulnizam Md. Roni diumumkan meraih tempat yang ketiga.

Lisa menyampaikan tajuk Bahasa Bukan Sekadar Alat Untuk Berkomunikasi, Bahasa Adalah Segala-galanya sementara Noor Haqim pula ialah Pesan Seniman yang merupakan judul lagu allahyarham Sudirman Arshad.




Bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia pula berjaya dimenangi oleh peserta UIAM dan berasal dari Afghanistan, Abdul Matin Mohamed Azeem dengan pidatonya yang bertajuk Dirgahayu Bahasa Melayu.

Sementara naib juara pula menjadi milik wakil Universiti Teknologi Petronas berasal dari Yemen, Abdul Rahman Khaled Hasan Saeed dan tempat ketiga dimenangi oleh pelajar Palestin di UIAM, Hassan Radwan Jamal Elatrash.




Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa Pustaka, Majlis Debat Universiti Malaysia dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

PABM yang memasuki edisi ke-11 kali ini disertai seramai 53 peserta dari 35 negara seluruh dunia.  Johan setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, Piala Perdana Menteri, hadiah iringan dan sijil.




Bagi naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing turut menerima wang tunai sebanyak RM12,000 dan RM8,000, piala, hadiah iringan dan sijil. Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan timbalannya, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching. – Mynewshub.cc/HAA

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci